• wan azizah
1 / 1
KUALA LUMPUR - [VIDEO] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru seminggu menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh diganggu nyamuk setiap malam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan kes saman Anwar terhadap Anifah Aman di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, hari ini.

Wan Azizah berkata, akibat diganggu serangga itu, waktu tidur suaminya turut terganggu. "Beratus-ratus nyamuk yang ada. Terdapat banyak kesan gigitan pada badan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu memberikan sebotol penyembur racun serangga untuk kegunaan Anwar di dalam penjara. "Malangnya tidak dibenarkan tapi pihak penjara berjanji akan menyelesaikan masalah itu" katanya lagi.

Wan Azizah berkata, prosiding perbicaraan ini dapat mengubati kerinduan keluarga terhadap Anwar.

"Alhamdulillah, terubat rindu padanya. Ini adalah pertemuan keluarga," katanya.

Beliau berkata, Anwar kelihatan kurus sedikit namun masih bersemangat dan berkeadaan baik.

"Dia kurang makan di sana," katanya. Menurutnya, suaminya itu juga turut mengadu sakit belakang.

"Anwar sedang membiasakan diri dengan masalah itu, tapi nampaknya ia menjadi lebih teruk terutamanya bahagian bahu,"katanya.

Berikutan itu, Wan Azizah memohon pihak penjara menyediakan tilam yang lebih baik.

"Pihak penjara berjanji namun kami masih menunggu. Saya minta tidaklah tebal, hanya dua inci selain tandas cangkung yang tidak sesuai dengan keadaan fizikalnya," katanya.

Wan Azizah tiba di mahkamah jam 8.25 pagi diiringi ahli keluarganya termasuk anak lelaki tunggal, Ehsan.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan Anwar terhadap sabitan dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas didapati meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 28.