• Nik Nazmi Nik Nazmi
1 / 1
PETALING JAYA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menggerakkan pimpinan sayap PKR itu di setiap negeri untuk meneruskan solidariti terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi flashmob yang akan diadakan selepas solat Jumaat, esok.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, himpunan solidariti itu akan dilakukan di masjid-masjid di setiap negeri yang menjadi tumpuan utama.

"Sebagai permulaan, kami menyahut seruan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk berhimpun solidariti (vigil night) di hadapan penjara Sungai Buloh setiap hari yang telah bermula sejak malam semalam.

"Tiga aktiviti utama AMK ialah flashmob, vigil night dan jelajah ceramah," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata lagi, selain itu AMK juga akan menghidupkan semula pentas-pentas ceramah Jelajah Bebas Anwar untuk mengimbas kembali amanat terakhir ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebelum hari keputusan kes Liwat II, Selasa lalu.

"Di peringkat AMK cabang akan menerangkan fakta-fakta kes dan menayangkan video ucapan Datuk Seri Anwar di dalam mahkamah," katanya.