• Abu Bakar Abdullah Abu Bakar Abdullah
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Ikatan tahalluf siyasi atau kerjasama politik bukan tiket untuk taat kepada pemimpin lain dengan mengetepikan pemimpin sendiri.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah berkata, istilah tersebut seolah-olah disalah erti oleh sesetengah pihak sejak belakangan ini sehingga segelintirnya bersikap ‘walak’ kepada pemimpin parti lain.

“Ahli Pas perlu patuh pada parti dan pimpinan parti.. bukan pimpinan parti lain. Apabila ada tahalluf siyasi, bukan perlu taat pemimpin lain.

"Mungkin ada yang keliru dengan istilah tahalluf siyasi dan walak,” katanya.

Beliau berkata sebagai mengulas perjuangan Pasma yang dilihat sering mengkritik kepimpinan Pas yang diterajui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abu Bakar berkata, penubuhan NGO itu dianggap tidak wajar memandangkan Pas mempunyai saluran tertentu dalam parti sekiranya mana-mana ahli tidak berpuas hati dengan kepimpinan dan bukan menyatakan perkara tersebut secara terbuka sehingga boleh melemahkan Pas.

“Bukannya (kalau tidak puas hati) tubuh platform untuk main persepsi atas nama NGO yang kemudian pecah-belahkan ahli,” katanya.

Beliau berkata, tahalluf siyasi bukanlah alasan untuk mencetuskan sesuatu yang buruk dan negatif kepada parti sebaliknya ia perlu dilihat sebagai usaha kerjasama yang boleh memberi kesan positif.

Jelasnya, mana-mana pihak juga tidak seharusnya bertindak terburu-buru dalam konteks tahalluf siyasi sebaliknya memahami syariat dalam konteks dakwah.

“Sepatutnya kita kena berusaha memahami perkara itu dan kita sebagai ahli Pas sendiri, kita juga mempunyai prinsip perjuangan sendiri,” katanya.

Beliau tidak menolak sikap segelintir pihak yang cuba mencapai kemenangan dengan cara gopoh menyebabkan ada yang cuba untuk keluar daripada adab berjemaah yang diamalkan dalam Pas selama ini.