• Polis siasat dakwaan N Gobalakrishnan
1 / 1
BUKIT MERTAJAM - Kertas siasatan bekas anggota Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan berhubung tweet yang menuduh terdapat pegawai polis di Pulau Pinang melindungi kumpulan kongsi gelap Geng 04 dalam kegiatan dadah, dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis membuka empat kertas siasatan terhadap bekas anggota Parlimen berkenaan dan akan menyerahkan semua kertas siasatan itu kepada Ketua Unit Perundangan (KUP), Polis Pulau Pinang, esok.

"Siasatan kes bekas anggota Parlimen itu dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

"Polis juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 6/2015 Sempena Tahun Baharu Cina  Kontinjen Pulau Pinang di Tol Juru arah Utara, di sini hari ini.

Gobalakrishnan ditahan di rumahnya di Kulim, Kedah pada pukul 3.30 petang Isnin lepas (9 Februari) selepas enggan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan.

Abdul Rahim berkata polis turut menerima satu laporan polis daripada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner yang didakwa Gobalakrishnan menerusi Twitternya mempunyai kereta mewah.

"Pegawai yang bertugas dengan kontinjen Pulau Pinang itu membuat laporan polis terhadap bekas anggota Parlimen itu kerana memfitnahnya," katanya.

Mengenai kes kenyataan exco kerajaan negeri Chong Eng yang mengkritik khutbah Jumaat, Abdul Rahim berkata polis telah mengambil keterangan Ketua
Wanita DAP itu dan kertas siasatan kes itu juga dijangka siap hari ini.

Adun Negeri kawasan Padang Lalang itu memberi keterangan pada pukul 6.30 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan dia memberikan kerjasama yang baik, katanya.

Abdul Rahim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu menyebut perkataan-perkataan dengan sengaja dengan niat melukakan
perasaan seseorang.

Chong Eng dalam kenyataan menerusi portal pembangkang pada Isnin (9 Februari) mengkritik khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kononnya menyampaikan maklumat mengelirukan berhubung aurat wanita dalam khutbah Jumaat lepas yang bertajuk Aurat: Antara Kebebasan dan Maruah Diri.  -Bernama