• Muhammad Khalil Abdul Hadi Muhammad Khalil Abdul Hadi
1 / 1
SHAH ALAM – Pas menegaskan pihaknya tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk menunda atau menangguhkan pelaksanaan Enakmen Syariah II.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diperjuangkan DAP dan undang-undang hudud yang diperjuangkan Pas adalah dua perkara berbeza.

Menurutnya, Pas telah menolak pelaksanaan pilihan raya PBT sejak sekian lama dan ia masih terpakai hingga hari ini.

“Hudud telah menjadi agenda Pas sejak sebelum PR ditubuhkan lagi dan Pas tidak terikat dengan sesiapa sama ada untuk menunda atau menangguhkannya.

"Isu pilihan raya PBT dan hudud adalah dua isu yg berlainan. Sudah menjadi polisi Pas tidak bersetuju dengan PBT sejak tahun 70-an lagi dan ianya masih lagi relevan sehingga sekarang,” katanya kepada Sinar Online, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal kenyataan terbaru Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan penangguhan itu bagi menyelamatkan PR menjelang PRU14 akan datang.

Susulan dua isu tersebut, parti komponen dalam PR ini dilihat tidak sehaluan apabila masing-masing tidak bersetuju dengan apa yang diperjuangkan rakan komponennya.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil sekali lagi mengingatkan bahawa hudud telah menjadi agenda Pas sejak dulu lagi sebelum wujudnya PR.

Sehubungan itu, Pas tidak perlu menunggu sehingga tahun 2023 untuk melaksanakan hudud di Kelantan sedangkan sudah mempunyai peluang.

“Pas tetap konsisten untuk melaksanakannya apabila mempunyai peluang dan ruang. Tidaksemestinya menunggu sehingga tahun 2023.

“Konsensus bersama dengan rakan-rakan PR adalah hudud hanya dilaksanakan di negeri-negeri yg dikuasai oleh Pas dan buat masa sekarang ini hanya Kelantan sahaja,” katanya.

Sementara itu, 8 Februari lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberitahu, Kerajaan Kelantan tidak akan menangguhkan perlaksanaan Enakmen Syariah II walaupun mendapat cadangan daripada pihak tertentu yang mahukan agenda banjir diselesaikan terlebih dahulu.

Ahmad berkata, dalam tempoh pemulihan daripada banjir, kerajaan negeri akan tetap meneruskan sidang Dun khas, Mac ini bagi pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015),  yang terpaksa ditangguhkan pada penghujung Disember lalu.