• Ahmad Samsuri (tengah) menjawab soalan yang diajukan media selepas Majlis Makan Malam Media di NR Café, Kuala Terengganu, malam kelmarin. Ahmad Samsuri (tengah) menjawab soalan yang diajukan media selepas Majlis Makan Malam Media di NR Café, Kuala Terengganu, malam kelmarin.
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Pas kini  menunggu notis menghadiri mesyuarat khas Majlis Presiden PR bagi membincangkan isu kekosongan kerusi ketua pembangkang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara selama lima tahun atas tuduhan meliwat.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, mesyuarat penting itu dijangka diadakan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kita jangka antara agenda yang akan dibincangkan nanti adalah calon ketua pembangkang di Parlimen dan bagaimana kita nak perkukuhkan PR bagi meneruskan perjuangan kita,” katanya selepas Majlis Makan Malam Media di NR Café, Tok Jembal, malam kelmarin.

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun usaha media untuk mendapatkan kenyataan beliau gagal apabila Ahli Parlimen Marang itu, bergegas pulang selepas program selesai atas alasan kurang sihat.

Mahkamah Persekutuan kelmarin, menolak rayuan akhir Anwar  terhadap kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.

Keputusan muktamad itu dicapai secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Dengan keputusan itu, Anwar, 67, yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Abdul Hadi tidak menyokong Anwar apabila beliau tidak hadir ke mahkamah kelmarin.

Menurutnya, Abdul Hadi, yang juga Adun Rhu Rendang itu terpaksa menghadiri satu majlis lain.

“(Abdul Hadi) tidak hadir kerana pertembungan program. Tidak timbul isu tidak menyokong sebenarnya,” katanya.

Beliau  turut mengesahkan menerima memorandum pendedahan wujudnya komplot didalangi pemimpin tertinggi parti untuk menjatuhkan Abdul Hadi yang diserahkan oleh Dewan Pemuda Pas Kuantan Ahad lalu.

“Kita terima memorandum, ia perkara biasa dan kita akan teliti sama ada ia mempunyai asas atau tidak,” katanya.