• Noor Rashid Ibrahim Noor Rashid Ibrahim
1 / 1
KLUANG - Polis akan mengenal pasti pihak yang bertindak di luar batasan pada perhimpunan yang menyuarakan simpati terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara, semalam.
  
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya akan meneliti rakaman atau gambar situasi pada perhimpunan itu sebelum mengenakan tindakan terhadap mereka yang terlibat.
  
"Setiap perhimpunan ada dokumen dan gambar mengenainya termasuk perbuatan janggal atau luar biasa yang berlaku. Kita akan cuba kenal pastinya menerusi gambar yang kita ada," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup kejohanan boling Piala Ketua Polis Negara, di sini, hari ini.
  
Noor Rashid berkata polis sekali lagi mengingatkan para penyokong terbabit supaya sentiasa mematuhi undang-undang dalam mengadakan perhimpunan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan.
  
Beliau berkata polis berpendirian tegas untuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang bertindak di luar batasan termasuk melakukan penghinaan dan hasutan.
  
"Kita kena ingat bahawa mahkamah sudah pun mengadili Datuk Seri Anwar.  Penyokong yang tidak berpuas hati, saya nasihatkan supaya apa juga tindakan dan diluahkan mereka mestilah berada dalam lingkungan yang dibenarkan," katanya.
   
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.
  
Sementara itu, mengenai kejohanan boling itu, beliau berkata ia dapat mengeratkan hubungan setiap anggota dalam pasukan polis.
  
Kejohanan empat hari bermula sejak 12 Februari lepas disertai 19 pasukan dengan kontinjen Kedah mendapat tempat pertama, diikuti Pulau Pinang, Perak dan Sabah. - Bernama