• Mas Ermieyati Mas Ermieyati
1 / 1
SHAH ALAM - Puteri Umno mendesak Exco Pulau Pinang, Chong Eng segera minta maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam atas tindakannya mencampuri hal ehwal Islam.
Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Chong Eng tidak sepatutnya membuat kenyataan yang mengkritik khutbah Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tentang aurat wanita.

“Puteri Umno kesal dengan sikap Chong Eng yang tidak bertanggungjawab, tidak hormati serta tidak jaga sensitiviti, agama dan kaum di negara ini dengan mengeluarkan kenyataan amat jahil dan kurang ajar.

“Beliau tidak berhak campuri urusan berkaitan Islam dan hal ehwal negeri lain. Jika tidak memahami perkara yang dibangkitkan, rujuk jabatan agama Islam, bukannya membuat kenyataan sedemikian semata-mata kerana mahu mencari publisiti murahan,” katanya.

Chong Eng, Isnin lalu, mengkritik Jais kerana menyampaikan maklumat berhubung aurat wanita dalam khutbah Jumaat minggu lalu, bertajuk ‘Aurat: Antara Kebebasan dan Maruah Diri’.

Chong Eng mendakwa, penekanan Jais mengenai aurat wanita tidak tepat apabila dilihat menghukum golongan wanita di atas kegagalan menutup aurat sehingga menyumbang kepada kes rogol dan pelbagai kejadian buruk.

Katanya, tindakan Chong Eng mendakwa masalah rogol tiada kaitan dengan aurat wanita adalah amat dangkal dan boleh menimbulkan salah faham masyarakat terhadap Islam.

Dakwaan Chong Eng kononnya tuntutan Islam supaya wanita menutup aurat hanya untuk mengalih kesalahan dan tanggungjawab mencegah jenayah seksual, katanya, menunjukkan beliau tidak tahu apa-apa mengenai Islam.

“Puteri Umno menyokong usaha Polis Diraja Malaysia menyiasat Chong Eng supaya masyarakat lebih faham erti menghormati sensitiviti agama dan berharap tindakan dikenakan terhadap beliau jika didapati bersalah," katanya.