• Suasana kecoh di antara penyokong Anwar dengan anggota keselamatan di luar bangunan Mahkamah. Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Suasana kecoh di antara penyokong Anwar dengan anggota keselamatan di luar bangunan Mahkamah. Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
1 / 1
PUTRAJAYA - Suasana aman di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bertukar kecoh apabila beberapa penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menghalang kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) keluar dari kawasan tersebut.

Beberapa objek kelihatan dibaling ke arah kenderaan itu termasuk botol air dan batu.

Keadaan itu menjadi tegang selepas Anwar disahkan gagal dalam rayuannya dan Mahkamah Persekutuan memutuskan sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya dan hukuman penjara lima tahun kekal.

Keadaan itu berlaku untuk seketika sebelum akhirnya berjaya diredakan Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa yang bertindak segera meminta penyokong beredar dan berkumpul di ibu pejabat PKR.

Sebelum itu, sebaik keputusan mahkamah dimuktamadkan, Fariz mengumumkan kepada penyokong agar bergerak ke kawasan belakang mahkamah bagi mengucapkan selamat tinggal kepada Anwar sebelum beliau dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman.

Sebelumnya, kawasan hadapan kompleks mahkamah diwarnakan dengan ucapan daripada pemimpin-pemimpin PR, solat hajat dan nyanyian.

Malah cuaca panas terik tidak menjadi penghalang kepada penyokong yang menanti sejak awal pagi di kawasan mahkamah.

Sementara itu, tinjauan Sinar Online mendapati, polis berkawal di setiap sudut pintu masuk menuju ke kompleks Mahkamah Persekutuan sejak awal pagi malah turut mengadakan sekatan jalan raya.