Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

MASALAHNYA IALAH ORANG LIHAT ISLAM MACAM ORANG LIHAT MELAYU

Mursyidul Am: 'Pas bukan gila kuasa'
Mursyidul Am: 'Pas bukan gila kuasa'
Hashim ketika ditemui Editor Sinar Harian di ibu pejabat Pas, baru-baru ini.
 
MIRSYIDUL Am Pas, Hashim Jasin baru-baru ini menyatakan parti itu sudah sedia untuk berbincang mengenai konsep satu lawan satu pada PRU14.

Sudah pasti apa yang disebutnya itu segera mendapat perhatian kerana umum mengetahui bahawa hubungan Pas dengan parti-parti pembangkang lain selama ini sememangnya diselubungi berbagai isu yang menjadi penghalang untuk pertandingan dua penjuru direalisasikan.

Mengikut logik politik, jika berlaku satu lawan satu, kedudukan BN mungkin tergugat.Namun jika sebaliknya, BN dipercayai akan kekal berkuasa berikutan perpecahan undi pembangkang.
Bagaimanapun, untuk mencapai tujuan itu, Pas tetap meletak syarat yang sekali gus menghadapkan realiti bahawa usaha ke arah itu masih perlu menempuh laluan yang berliku. Ikuti penjelasan Hashim kepada Editor Sinar Harian, Muhamad Mat Yakim.

Bagaimana boleh timbul kenyataan satu lawan satu?

Kalau ambil kira dari segi akal, satu lawan satu, tinggi harapan kita untuk menang. Kalau dua penjuru, kurang sikit. Kalau tiga, lagilah kurang. Atas dasar itu, saya lontarkan idea, Pas bersedia untuk satu lawan satu tetapi ia bukanlah setakat itu, ada syarat. 

Kita letak syarat sebab kita tak mahu kalau kita menang, timbul masalah lain, jadi konflik, perebutan (jawatan dan kuasa).  Itu kita nak elak. Tetapi pada dasarnya konsep satu lawan satu memang baik. Itu kita akui. Saya lontarkan pandangan itu kerana ia tidak bercanggah dengan sistem demokrasi kita dan tidak bercanggah dengan pemikiran kita bahawa satu lawan satu lebih mudah untuk kita menang.  

Apakah syarat-syarat itu?

Apabila kita capai kemenangan, kepimpinan mesti diterajui oleh Islam. Ini merangkumi sebarang sudut yang ada dalam kepimpinan. Landasan dari segi pentadbiran, pengurusan dan sebagainya adalah mesti mengikut apa yang ditakrif sebagai prinsip dan nilai Islam.

Apa lagi prasyarat sebelum persetujuan dicapai?

Perlu  difahami untuk mencapai sesuatu kerjasama mengikut Islam, ada tiga gagasan pendekatan yang perlu iaitu tahaluf, ta’awun dan isti’anah. Tahaluf ialah kerjasama yang lebih menjurus kepada politik. Ta’awun ialah bersama dalam satu ikatan atau pakatan. Konsep ta’awun adalah lebih luas daripada politik, turut merangkumi urusan sosial dan kemasyarakatan. Isti’anah pula dalam situasi yang memerlukan kita minta tolong daripada pihak lain untuk mencapai sesuatu tujuan.  

Ketiga-tiga konsep ini ada dalam pakatan yang Nabi pernah buat. Nabi malah pernah minta tolong daripada orang Yahudi. Semasa PR, ketiga-tiga elemen itu kita buat, ada dalam pendekatan kita (Pas). Isti’anah misalnya apabila kita bertanding di kawasan yang ramai pengundi Cina, DAP datang tolong. Dalam Islam, pendekatan ini diharuskan. Atas dasar itu, kita tidak menolak untuk bekerjasama dengan sesiapa pun. Syaratnya, mesti Islam yang memimpin. 

Kita sudah terlibat dengan berbagai bentuk kerjasama. BN pun Pas pernah masuk tapi tidak sampai ke mana. Jadi sekarang, kita kena letak syarat sebelum apa-apa kerjasama kita buat. Satu lawan satu memang baik tetapi kita mesti letak Islam yang memimpin. Kita sudah ada pengalaman kalau letak matlamat yang lain, ia tidak akan menguntungkan Islam.

Jika kerjasama itu menjadi, adakah mesti Pas yang jadi ketua?

Kita tidak bermaksud begitu. Tidak semestinya Pas. Siapa pun boleh jadi ketua. Apabila disebut Islam, boleh sesiapa sahaja. Presiden sebut Pas (yang memimpin), bukan bermakna kenyataannya itu menyalahi apa yang saya sebut.

 Itu pandangan dia (Presiden Pas) atas pengalamannya bersama pakatan sebelum ini. Bagi Tok Guru Haji Hadi, sebelum ini apabila diberi kepada pihak lain (selain Pas) untuk memimpin, pakatan kita boleh dikatakan hanyut, tidak sampai tujuan.  Jadi kali ini, biar Pas yang memimpin. Itu bukan makna kita minta. Dan Pas itu bukan mesti Haji Hadi. Pas adalah organisasi. Bukan kita minta untuk diri kita. 

Kita bukan rebut atau gila nak jadi perdana menteri. Itu kita sebut lama dah, sejak awal lagi tetapi mereka sendiri, belum apa-apa lagi sudah sebut orang itu perdana menteri, orang ini perdana menteri. Itu yang dimaksudkan oleh Tok Guru. 

Dan saya apabila saya kata Islam,  sebenarnya sama sahaja tetapi saya sebagai orang yang lebih tua, lembut sikitlah kata-kata saya (tertawa)! Saya ulang, apabila disebut Islam, boleh sesiapa sahaja asalkan kita yakini kerjasama ini boleh dibawa mengikut acuan Islam, mengikut cara, kaedah dan pendekatan Islam. Tok Guru Nik Aziz pernah kata, kita nak buat (tegak pemerintahan) Islam, kalau Umno nak buat Islam yang sama, kita sanggup bubar Pas. 

Jadi maknanya, sesiapa saja yang nak buat Islam, kita akan sokong. Sampai sekarang, prinsip itu kita pegang. Bukan mesti Pas. Kalau ada orang lain yang betul-betul kita boleh percaya untuk melaksanakan Islam, kita sokong. Nabi dulu pun, apabila ada raja di sesebuah negara yang sedia terima Islam, Nabi benarkan untuk dia memerintah. 

Ini bukan soal kita nak jadi ketua, tetapi kita nak letak Islam di tempatnya, sebagai landasan dalam kepimpinan. Islam tidak ada kaitan dengan soal tamak kuasa tetapi Islam bawa mesej selamat dunia dan akhirat. Aslim taslam, masuk Islam, kamu selamat dunia akhirat. Inilah pendekatan kita, nak usaha untuk semua orang faham dan terima Islam yang sebenar-benarnya.

Kalau tidak letak syarat seperti itu?

Kalau kita tidak letak syarat itu, mungkin akan timbul masalah. Mutakhir ini, ada kempen besar-besaran untuk guling Najib. Saya nak tanya, katakanlah kempen mereka berjaya, selepas Najib jatuh, apa akan jadi?  

Bolehkah kita pastikan bahawa tidak akan ada masalah lagi jika Najib dijatuhkan? Pada pandangan saya, kalau sistem yang sama masih dipakai, samalah juga. Dengan itu, jatuhnya Najib tidak ada makna pun untuk kita. Lebih baik kita biar dan lawan dia dalam pilihan raya. 

Kalau boleh kata dalam keadaan dia banyak ‘dosa’ , banyak perkara yang dia buat orang marah, masa itulah kita tumbangkan dia. Itu lebih baik daripada kita usaha jatuhkan dia sekarang. 

Kalau Najib jatuh sekarang, nanti naik orang baru ganti dia, orang itu akan bawa BN jadi lebih kuat seperti semasa Pak Lah ambil alih daripada Mahathir dulu. Bukankah pada pilihan raya 2004, BN memang besar? BN akan lebih kuat dalam tangan orang baru. 

Najib sekarang dalam keadaan lemah, jadi kita sebagai pembangkang tak perlulah nak kempen (beri kekuatan baharu kepada BN). Dia lemah, biarlah.

Maknanya Pas tetap tidak akan setuju dengan kempen jatuhkan Najib?

Keutamaan kita adalah menentang kezaliman. Kalau setakat Najib, nanti Najib jatuh, apa pula? Tetapi kalau kezaliman yang kita tentang, tidak kira siapa. Kalau Najib, Najiblah kita tentang, malah kalau Tok Guru Haji Hadi pun, katakanlah dia zalim, kita akan tentang juga. 

Dalam menentang kezaliman, tidak bolehlah kita benarkan setelah jatuhnya sesuatu kezaliman, nanti naik kezaliman yang lain pula. Itu yang kita tak mahu berlaku. Saya percaya dalam hal ini, tidak timbul masalah bercanggah dengan kehendak rakyat. 

Soal nak jatuhkan Najib,  ikut syarak ke tidak? Ikut cara Islam, kita kena kira sampai begitu. Kalau dalam al-Quran, ALLAH kata tak boleh, tak bolehlah walaupun 100 peratus rakyat nak seseorang pemimpin itu dijatuhkan.  

Dalam ucapan di Konvensyen PH, Nurul Izzah ada menyindir Presiden Pas ... Orang yang tak pernah bersama Pas, kalau mereka tak faham, kita boleh terima sebab kita lontarkan perkara ini pun baru saja. 

Jadi memang dia tak fahamlah. Tetapi yang saya pelik apabila mereka yang pernah bersama Pas, pernah sertai usrah kita, mereka bagi saya bukan tak faham tetapi buat-buat tak faham. Setiap kali mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, kita usrah dulu. Kita ambil satu ayat (al-Quran) dan hurai. Sesiapa saja boleh beri idea atau pendapat mengikut situasi atau isu-isu semasa. 

Akhir sekali, kita buat kesimpulan. Itu yang saya berasa pelik apabila yang sudah lalui proses ini, pernah duduk lama dalam Pas dan ikuti usrah kita, pun masih tunjuk tidak faham. Apa pun, kami ambil sikap untuk terima bahawa kerja kita ini sememangnya berat dan tidak mudah. Dan kita pun memang letak dalam jangkaan bahawa kita akan hadapi ujian semacam ini. Kerana itu, kita tidak panik dan anggap ini ujian dalam usaha kita menegakkan agama ALLAH.

Sudah bincang antara pimpinan parti?

Peringkat pimpinan, secara rasmi belum tetapi secara tidak rasmi, mungkin ada. Kita sebenarnya belum ada keputusan pun nak bersatu dengan siapa, Majlis Syura pun belum mesyuarat tetapi untuk menjawab persoalan tentang ini, akan dibuat satu kertas yang akan dibentang pada mesyuarat (Majlis Syura Ulamak) 17 Disember. 

 Sekarang, kami nak biar orang bincang, bagi ‘hadam’ dulu… lepas itu baru kita mesyuarat. Jadi apa yang dibincangkan sekarang kita akan ambil kira untuk kita bawa ke dalam mesyuarat.

Sebelum lontarkan pandangan ini, Ustaz ada bincang dengan sesiapa dalam pimpinan Pas?

Ya,  kita bincang sudah lama tetapi tidaklah secara langsung dan tidaklah diminitkan untuk kita ambil langkah susulan. Dalam usrah pun selalu disebut. Apa yang saya boleh kata, kita tidak pernah terima bantahan mengenai idea satu lawan satu daripada mana-mana pihak dalam Pas.

Penerimaan ahli di bawah pula macam mana? Ini termasuk soal pembahagian kerusi yang mungkin ada tidak bersetuju...  Apa yang kita cakap sekarang adalah soal dasar.  Apa yang disebut dasar adalah persoalan mengenai kalau kita nak bercakap soal kerjasama, sejauh mana kerjasama itu yang boleh kita persetujui, misalnya. Itu dasar. 

Katakanlah, kita bersetuju hendak bertahaluf dengan mana-mana parti, soal pembahagian kerusi adalah perkara kedua, ketiga, keempat atau yang kelima. Itu bukan persoalan dasar. 

Dasarnya ialah kita bersetuju dulu. Dalam Pas, apabila kita bersetuju dengan sesuatu perkara, wajib kita penuhi apa yang telah dipersetujui. Apabila kita sudah letak syarat, walaupun nampak seperti tersalah langkah, kita masih perlu ikut kerana kita telah bersetuju. Itu yang ALLAH suruh. Persoalan mengenai kerusi nak diambil, itu biasa.

 Pada peringkat ini, kita nak beri tumpuan pada urusan dasar dahulu. Itu pun belum selesai lagi. Dalam parti pembangkang lain, ada keyakinan bahawa Pas tidak mungkin menang tanpa kerjasama DAP... Akan jadi masalah apabila kerja orang kita nak buat tetapi kerja sendiri, kita tak buat. Adakah kita faham, apa tugas kita sebenarnya? Sebagai contoh, kita tanam benih pokok.

Tugas kita, tanam, siram, baja dan jaga jangan kena penyakit. Itu tugas kita. Ada pun yang nak hidupkan benih itu jadi pokok sampai keluar pucuk dan keluar buah, itu bukan kerja kita. Mengapa kita sibuk nak bincang pasal urusan nak keluar pucuk, keluar buah sedangkan kerja kita sendiri kita tak buat? Soal menang pilihan raya bukan urusan kita. 

Sesiapa yang kata kita tak boleh menang pilihan raya, itu maknanya dia masuk campur kerja orang sedangkan kerja dia sendiri, dia tak buat. Suatu ketika, ada seorang datang mengadu kepada Nabi mengenai keadaan di negerinya yang tidak aman, sering berlaku jenayah dan kacau bilau. 

Nabi berkata kepada Saidina Adi bin Hatim, kalau umurmu panjang, kamu akan dapat lihat suatu masa nanti, seorang wanita akan datang ke Makkah dalam keadaan tiada apa yang ditakutinya melainkan serigala. Dan kata Nabi lagi, kamu juga akan dapat lihat, kunci istana kisra (raja) dipegang oleh orang Islam. 

Walaupun pada masa itu Islam belum berkembang luas tetapi Nabi yakin, ajaran yang dibawanya sedang menuju ke arah itu, ke arah kemenangan, kejayaan, keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran hidup untuk semua manusia. Kalau Rasulullah sendiri yakin, mengapa kita pula tidak yakin?  Ini tanggungjawab kita untuk usahakan. 

Memang lumrah kita akan hadapi masalah tetapi saya yakin, orang yang telah mendapat tarbiah Pas, walaupun mungkin ada perkara dia tidak bersetuju tetapi dia tidak akan bangkang. Kalau yang bangkang, itu saya boleh katakan mereka sudah out!

Ketua Pemuda Pas ada buat kenyataan bahawa Pas tidak mungkin akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah dalam isu satu lawan satu sedangkan Majlis Syura Ulamak belum pun buat apa-apa keputusan...

Itu tafsiran dia saja dan kita tak anggap itu perkara besar apabila dia buat tafsiran yang pergi ke peringkat itu. Kita kena ambil kira juga perasaan dia. Orang tidak tahu apa yang DAP buat pada dia, apa yang Amanah buat pada dia hingga dia melonjak pergi sampai ke peringkat itu. 

Dia orang muda. Tok Guru Haji Hadi pun ada cerita pada saya mengenai macam-macam perkara yang mereka buat pada dia, apa yang tidak sepatutnya dibuat kepada seseorang apa lagi dia seorang pemimpin. Itu dia tak pernah cerita pun kepada orang ramai. Itulah kita kena belajar cara berpolitik matang dan sejahtera. 

Nabi sendiri pun tak cerita semua perkara kepada kita tetapi di sebalik sesuatu perkara itu, baginda beritahu kita hukum, itu jangan buat, ini jangan buat. Kita jangan pula tanya sebab apa sesuatu perkara itu Nabi larang. Sebab itu dalam berpolitik kita diajar mengenai wala’, kepatuhan kepada pemimpin. Haram kita derhakai pemimpin. 

Kita mesti memuliakan pemimpin, kasihkan mereka dan sedia membantu mereka. Apabila wujud tiga elemen ini, barulah dipanggil wala’. Soal memuliakan pemimpin, Rasulullah S.A.W. dalam banyak sirah memuliakan pemimpin walaupun bukan Islam.

Ada pandangan, sebagai parti Islam, Pas tidak boleh berubah dari segi prinsip atau dasar.

Dalam siyasah, keadaan akan menentukan perubahan pendekatan yang mungkin berlaku mengikut keperluan dan kesesuaian semasa. Pendekatan boleh berubah. Untuk satu lawan satu, pada dasarnya kita setuju tetapi bagi Pas, persetujuan kita tidaklah secara mutlak hanya kerana kita nak pastikan satu lawan satu.  Itulah ketegasannya. Syarat itu mungkin PKR tak senang, Amanah pun tak senang tetapi bagi kita, kita tegas.

Apa nasihat Ustaz kepada ahli dan penyokong Pas yang mungkin masih tidak faham satu lawan satu?

Saya nak minta ahli-ahli Pas berilah kepercayaan kepada pimpinan yang saya yakin mereka tidak akan sekali-kali mengkhianati penyokong. Keputusan yang dibuat tidak akan mengkhianati ahli dan penyokong Pas yang sudah sekian lama berjuang untuk Islam melalui parti ini. 

Selama bersama dengan Pas, sudah banyak saya perhatikan apabila berlaku kesilapan, pimpinan Pas akan berpatah balik dan mengaku kesilapan lalu memperbaiki keadaan. Jadi jangan risau. Pada hemat saya, Pas sekarang lebih kemas berbanding dulu. 

Banyak berlaku apa yang saya sendiri tidak sangka. Contohnya, dalam perjumpaan yang kita buat, penganjur pun hairan sebab terlalu ramai, melebihi jangkaan. Itu tanda-tanda bahawa kita semakin mendapat sambutan akar umbi. Golongan profesional pun semakin ramai mendekati Pas.

5 orang berkata:

Anonymous said...

melayu tu bukan islam terutama yg dari umno..hehehehe
dap yg islam sebab tu pas sayang dap hehehehe..umar abdul aziz pas tu hihihihi

Hamba Allah said...

Engkau ni buta politik dan buta hati lah...klo rasa komen ikut sedap tangan lbh baik xpyh bang..klo bleh jgn nmpak sgt kebanggangan diri sendiri tuhh

Anonymous said...

hehe..memang pas sayang dap dulu..kalo x sayag x kan aku.saja2 sebut..byk kaseh sayang pas kat dap..nak taip panjang..ko nak nafi dari perkara yg parti ko pernah buat..ape salah ko ngaku mungkin itu ialah salah silap parti ko,kan itu lebih manis..ko x payah pusing2 kebanggaan diri bagai la semua kelua hehe

Anonymous said...

Bukan gila kuasa tapi gila babi
Heeeee

Anonymous said...

Alhamdulillah...saya amat berharap pihak pembangkang dapat bersatu dan bersetuju 1vs1..semoga Allah merahmati TGHJ..

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.