Harga barang naik: Bekas bos NST dakwa pemimpin persenda rakyat ‘cetek akal’
OLEH MD IZWAN
Tanpa menamakan individu tertentu secara spesifik, bekas Ketua
Pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu menegaskan, isu kenaikan
harga adalah suatu yang serius dan sesuatu realiti dihadapi rakyat
bawahan ketika ini.
"Kenaikan harga adalah suatu yang sangat serius, sesiapa yang mempersendakannya adalah cetek akal.
"Kenyataan sesetengah pemimpin tentang kenaikan harga, sesiapa yang
mempersendakannya adalah berfikiran cetek," kata Kadir kepada The
Malaysian Insider bagi mengulas isu kenaikan harga barang yang menjadi
keluhan rakyat.
Isu kenaikan harga barang tidak terbendung susulan pengurangan subsidi
oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pengumuman kenaikkan tarif
elektrik berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima kritikan
keras daripada rakyat dan pemimpin parti sendiri ekoran keputusan tidak
popular itu yang dilakukan secara drastik.
Program Rasionalisasi Subsidi yang dilakukan pentadbiran Najib didakwa
meningkatkan kos sara hidup dengan peningkatan kos bahan api, kenaikan
tarif elektrik, dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
yang akan berkuatkuasa pada April 2015.
Secara tidak langsung mengakui tekanan yang dihadapi kerajaan, Najib
selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat mengumumkan
peruntukan RM20 juta bertujuan menstabilkan harga barang di pasaran.
"Adakah jumlah peruntukan 20 juta itu memadai untuk menstabilkan kenaikan harga barang yang begitu meluas?
"Saya ingat satu hari rakyat Malaysia membelanjakan berbilion untuk
beli minyak, beli makanan, bayar bil elektrik dan bayar tol. Jadi,
adakah 20 juta itu memadai?" soal Kadir mengulas tentang peruntukan yang
diumumkan Najib itu.
Kadir turut menggesa kerajaan supaya bertegas dalam isu kenaikan harga barang dengan mengenakan hukuman lebih berat.
"Tak cukup dengan menyeret peniaga ke mahkamah kerana proses ini mengambil masa yang agak panjang.
"Lebih berkesan jika perniagaan mereka ditutup ataupun disita jika
mereka didapati membuat keuntungan berlebihan dan menyorok barang,"
katanya.
Dalam pada itu wartawan veteran itu juga mahu kerajaan sedia ada
mementingkan hak rakyat dan bukannya bersikap seperti kerajaan sepenuh
masa dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.
"Malah saya berasa Umno wajib bercakap bagi pihak rakyat dan jangan
hanya bercakap seolah-olah Umno adalah kerajaan sepenuh masa.
"Umno bermula daripada rakyat, maka Umno wajib ambil berat tentang hak rakyat," katanya.
Kadar inflasi di Malaysia melonjak daripada 2.9% pada November kepada
3.2% pada Disember 2013, berpunca daripada pengurangan subsidi dan
dijangka meningkat pada tahun 2014.
Kadar tersebut adalah yang tertinggi sejak November 2011, purata
peningkatan setiap tahun inflasi naik daripada 1.9% pada November kepada
2.1% pada Disember.
Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula, antara lain
mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga barang-barang lain turut
meningkat.
Putrajaya juga sebelum ini mengumumkan beberapa langkah pengurangan
penjimatan susulan kritikan tidak berjimat ketika rakyat dibebani dengan
kenaikan harga barang.
Di antaranya adalah mengurangkan elaun hiburan dan perjalanan menteri
serta pegawai kanan kerajaan selain membekukan pengubahsuaian pejabat. –
26 Januari, 2014.
0 orang berkata:
Post a Comment