• Cuaca sejuk dijangka kembali normal Rakaman video tersebar luas di laman sosial kononnya memaparkan kejadian salji di Indonesia.
1 / 1
SHAH ALAM – Cuaca sejuk yang melanda beberapa negeri Pantai Timur beberapa hari lalu, dijangka kembali kepada bacaan asal menjelang minggu depan.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata,  perubahan cuaca berlaku akibat tiupan angin timur laut kencang dari China yang sedang mengalami musim sejuk.


“Untuk tempoh dua hingga tiga hari ini, negeri-negeri di Pantai Timur masih akan terkesan dengan cuaca sejuk ini namun menjelang minggu depan ia kembali kepada cuaca asal.


“Litupan awan kurang di seluruh semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi,” katanya .


Menurutnya, cuaca sejuk di kawasan Kuala Krai yang mencatatkan rekod bacaan 17 darjah Celcius semalam meningkat hari ini kepada 19 darjah Celcius.  


Kata Helmi, negeri-negeri lain seperti di Pantai Barat semenanjung Malaysia dijangka tidak akan mengalami cuaca sejuk.


“Negeri-negeri lain di Semenanjung tidak akan menghadapi cuaca sejuk kerana tiupan angin ini dihalang struktur permukaan bumi bergunung ganang daripada sampai ke negeri-negeri di Pantai Barat," katanya.


Ketika ditanya, kemungkinan negeri-negeri di Pantai Timur akan kembali dilanda hujan lebat akibat perubahan cuaca, beliau menafikan sebaliknya mengatakan tiupan angin kencang akan menyebabkan laut bergelora dan membahayakan kepada nelayan yang turun ke laut.


Beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengatakan salji akan melanda Malaysia akibat cuaca sejuk luar biasa yang sedang berlaku.


Menurutnya, video yang tersebar luas di laman sosial blog dan Facebook memaparkan kejadian salji berlaku di Indonesia adalah tidak benar.