• M Veeran M Veeran
1 / 1
IPOH - Pemuda MIC Perak menyifatkan tindakan seorang guru yang didakwa menghukum dua anak muridnya dengan menyuruh mereka memakai loceng dan memakan rumput sebagai keterlaluan.

Ketuanya, M Veeran berkata, tindakan seperti itu tidak wajar kerana ia menjatuhkan maruah murid berkenaan dan tidak mencerminkan sikap profesional seorang guru.

Katanya, hukuman seperti itu juga boleh mengganggu emosi kanak-kanak terbabit.

“Tak salah kalau nak kenakan hukuman sebagai pengajaran kepada murid, tapi biarlah yang bersesuaian dan tidak menjatuhkan maruah mereka.

“Ini bukan isu melibatkan kaum, tetapi isu kemanusiaan rakyat Malaysia yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dua murid sebuah sekolah jenis kebangsaan di Sungkai yang didakwa diarah guru mereka memakai loceng di tengkuk dan mengunyah rumput sebagai hukuman.

Veeran berkata, pihaknya berharap tindakan tegas diambil terhadap guru dan pihak sekolah berkenaan kerana tidak sensitif dalam perkara seperti itu.

Pada masa yang sama, kata beliau, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi.

“Lebih baik sebarang kesalahan atau masalah murid-murid di sekolah diadukan kepada ibu bapa daripada mengambil tindakan sendiri yang akhirnya mencetus suasana tegang.

“Saya harap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi di mana-mana sekalipun. Tidak kira orang Melayu, Cina atau India, semua pelajar perlu dilayan seperti manusia, bukan haiwan,” katanya.