• HMS Daring HMS Daring, kapal perang Britain paling canggih, membuat kunjungan hormat hari ini di Pusat Pelayaran Pelabuhan Klang semalam. - Foto Bernama
1 / 1
PELABUHAN KLANG - HMS Daring, kapal perang Britain paling canggih, membuat kunjungan hormat hari ini di Pusat Pelayaran Pelabuhan Klang di sini, menandakan berakhirnya persinggahan HMS Daring di Asia Tenggara.
  
Pegawai Pemerintah HMS Daring, Komander Angus Essenhigh berkata kunjungan tiga hari ke pelabuhan itu akan memberi peluang kepada anak kapal mengukuhkan hubungan maritim dengan Tentera Laut Diraja Malaysia menerusi pelbagai program interaksi termasuk lawatan ke kapal, acara sukan dan latihan di laut. 
  
"Kunjungan hormat di sini hari ini merupakan pelabuhan persinggahan terakhir di Asia Tenggara, sebelum belayar pulang ke pangkalannya di United Kingdom selepas lapan bulan berada di laut," katanya kepada kumpulan pemberita yang dibawa melawat kapal itu.
 
Essenhigh berkata kapal perang itu yang merupakan kapal pemusnah Type 45 pertama Britain, adalah kapal perang Royal Navy pertama melawat Malaysia sejak 2009, tetapi ia bukanlah kali pertama kapal itu berada di perairan Malaysia.
  
"November tahun lepas, ia menyertai kapal selam daripada negara anggota FPDA (Perjanjian Pertahanan Lima Negara iaitu Australia, New Zealand, Singapura, United Kingdom dan Malaysia) dalam Eksesais Bersama LIMA'13," katanya.
  
Essenhigh berkata HMS Daring yang ditauliahkan pada 2009, ditugaskan menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bencana alam daripada United Kingdom kepada penduduk Filipina selepas tragedi taufan Haiyan.
  
Kapal itu yang mengangkut peralatan untuk air minuman daripada air laut itu dijadual singgah di Pelabuhan Cochin di India sebelum berlepas pulang ke pangkalannya. - Bernama