59,765 warga asing diusir ke negara asal tahun ini
PUTRAJAYA - Seramai 59,765 warga asing yang melakukan pelbagai
kesalahan telah diusir ke negara asal mereka termasuk banduan asing yang
telah tamat menjalani hukuman penjara dalam tempoh 21 Januari sehingga
semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Mustafa
Ibrahim.
Beliau berkata, warga Indonesia adalah yang tertinggi diusir iaitu
24,614 orang diikuti warga Bangladesh sebanyak 6,834 orang dan Filipina
sebanyak 6,483 orang serta lain-lain warganegara.
“Warga asing yang melakukan jenayah di negara ini tertakluk di bawah bidang kuasa dan tindakan pihak polis.
“Setelah menjalani proses penghakiman dan selesai menjalani hukuman di
penjara, pihak penjara akan menyerahkan banduan asing ini kepada
imigresen untuk proses pengusiran pulang ke negara asal mereka,” katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mustafa menjelaskan bahawa sebelum dihantar pulang, imigresen akan
mengeluarkan Perintah Tahan Usir (PTU) dan nama mereka akan
disenaraihitamkan daripada dibenarkan masuk semula ke negara ini bagi
satu tempoh masa tertentu atau seumur hidup.
Sehubungan itu, beliau berkata, imigresen menasihati warga asing supaya
tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau yang melanggar
undang-undang negara ini dan mereka yang ingkar akan berhadapan dengan
tindakan undang-undang termasuk diusir ke negara asal dan
disenaraihitamkan dari memasuki negara ini semula. - Bernama
1 orang berkata:
Usir pati.pati rohinya usir kemna
Post a Comment