• Syed Ali Alhabshee Syed Ali Alhabshee
1 / 1
KUALA LUMPUR - Tindakan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa perwakilan Umno berhati-hati ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Umno kali ini disifatkan sebagai satu tindakan lucu dan menyibuk.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan ahli politik MCA itu tidak wajar kerana Umno sama sekali tidak pernah  mencampuri urusan Perhimpunan Agung parti itu.

"Setiap pemimpin dan ahli-ahli Umno tahu apa yang mereka perlu buat untuk memperkukuhkan parti.

"Tidak perlu ditunjuk dan diajar oleh mana-mana parti komponen lain. Jangan jadi seperti ketam mengajar anak, perjuangan sendiri pun bermasalah tetapi mahu mengajar orang lain pula," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dakwa Syed Ali lagi, MCA jangan merasa terlalu hebat, sebaliknya perlu sedar dan cermin diri sendiri.

"Kekalahan teruk BN di dalam dua siri PRU lalu bukan berpunca dari Umno,  sebaliknya berpunca daripada penolakan sepenuhnya orang Cina terhadap MCA kerana mempunyai pemimpin yang lemah.

"Umno tiada masalah, bahkan Umno berjaya mengembalikan sokongan padu orang Melayu terhadap BN.

"Umno telah berjaya menjadi benteng kukuh untuk memastikan survival BN terus bertahan. Adalah tidak bertanggungjawab  sekiranya MCA menyalahkan Umno kerana mereka gagal meraih sokongan kaum Cina," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Syed Ali mengingatkan  MCA supaya  jangan sesekali menjadikan UMNO sebagai “kambing hitam” demi menutup kelemahan sendiri.

"MCA perlu bermuhasabah dan mencari punca sebenar mengapa mereka berterusan ditolak oleh bangsa Cina. Jangan jadi parti yang bodoh sombong," katanya.