• Mahfodz Mohamed Mahfodz Mohamed
1 / 1
GOMBAK - Tindakan provokatif DAP dikhuatiri boleh membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dengan parti itu.
 
Demikian kata Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad sambil mendakwa DAP cuba menguasai kepimpinan Pas selepas memecahbelahkan parti Islam itu dengan pelbagai provokasi.
 
"DAP melancarkan pelbagai serangan provokasi terhadap batang tubuh presiden Pas dan membuat keputusan rasmi memutuskan hubungan dengan presiden Pas tetapi tidak dengan Pas.
 
"Ini merupakan satu percanggahan pecah dan perintah oleh DAP iaitu memecahbelahkan kesatuan pimpinan untuk mereka menguasai Pas," katanya dalam ucapan dasar Muktamar Dewan Ulama Pas, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad, Taman Melewar, di sini, hari ini.
 
Beliau juga berkata DAP kini memberi isyarat untuk campur tangan dalam pemilihan Pas, sekaligus menjadi penanda aras kepada masa depan parti sosialis itu dalam PR.
 
"Ia adalah isyarat campur tangan yang jelas agar perwakilan memilih pemimpin baharu yang pro dengan segala tindak-tanduk DAP," ujarnya.
 
Mahfouz berkata lagi, perbalahan dalaman PR didakwa bermula dengan Langkah Kajang yang songsang dan ikuti dengan krisis pengguguran Menteri Besar Selangor.
 
"Mereka juga telah mengisytiharkan pembubaran PR di Sabah dan Sarawak. DAP juga menentang keras usaha kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.
 
"Situasi ini memperingatkan kita dengan syarat-syarat tahaluf siyasi yang telah digariskan oleh Majlis Syura Ulama Pas pada 2009," katanya lagi.