Beli kain guna duit GST: PM mahu Rafizi mohon maaf
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan surat
tuntutan kepada Mohd Rafizi Ramli supaya memohon maaf dan menarik balik
kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan wang Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) berhubung pembelian kain di sebuah gedung
tekstil terkemuka di negara ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun kepada
pemberita selepas pengurusan kes saman fitnah membabitkan Najib dan
bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dalam kamar Hakim Mahkamah
Tinggi, Datuk John Louis O'Hara hari ini.
Mohd Hafarizam berkata, beliau mendapat arahan daripada perdana menteri
semalam untuk menyiapkan dan menyerahkan surat tuntutan kepada Naib
Presiden PKR itu secepat mungkin.
Mohd Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR didakwa mengeluarkan
kenyataan itu ketika perhimpunan mansuh GST di Dataran Merdeka, 2 April
lepas.
Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata kes saman Najib terhadap Dr Liong
Sik akan didengar di hadapan hakim lain berikutan O'Hara hari ini
menarik diri daripada mendengar kes saman berkenaan.
Katanya, hakim itu menarik diri untuk mengelakkan salah tanggapan
masyarakat kerana beliau dan Dr Liong Sik merupakan alumni Maktab
Tentera Diraja iaitu Persatuan Bekas Putera.
Peguam itu berkata, keputusan O'Hara itu tidak dibantah oleh pihaknya dan juga peguam Villie Nethi, mewakili Dr Liong Sik.
"Kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor
Bee Ariffin tetapi masih belum ada tarikh yang ditetapkan untuk sebutan
kes itu," kata Mohd Hafarizam.
Najib memfailkan saman terhadap Dr Liong Sik atas dakwaan mengeluarkan
kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi satu
artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober tahun lepas.
Pada 27 Oktober tahun lepas, Najib menyaman Dr Liong Sik selaku
defendan, antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan
itu menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang
dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan
olehnya.
Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Liong Sik atau
melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau
menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan
berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.
Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk
dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh
mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Liong Sik telah secara
palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah
terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di
sini, yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita
pada 3 Oktober 2015.
Katanya, perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau (Najib)
menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan
peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan
kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tidak kompeten atau
layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment