Peruntukan RM400j: Kelantan perlu bersikap jujur
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan diminta bersikap jujur dan
mengisytiharkan kepada rakyat secara terperinci mengenai apa sahaja
disalurkan kerajaan pusat termasuk peruntukan RM400 juta, tahun lalu.
Pengerusi Gerakan Hijrah Kelantan, Kamarudin Kasim, mendakwa, pihaknya
melihat kerajaan negeri tidak memaklumkan tentang peruntukan Kerajaan
Persekutuan kepada umum, bahkan hanya memperbesarkan isu Kelantan
dianaktirikan.
Menurutnya, tindakan memperbesarkan isu Kelantan dianaktirikan adalah
dangkal dan tidak sepatutnya kerana ia seperti cuba menafikan sumbangan
kerajaan persekutuan kepada kerajaan Kelantan setiap tahun.
“Inilah yang tertanam di dalam jiwa penyokong mereka, yang melihat
kerajaan pusat tidak berlaku adil. Sedangkan pelbagai bantuan diberikan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pas tanya mana pergi peruntukan RM400j]
“Dengan peruntukan ini, Kerajaan Kelantan dapat menyelesaikan banyak
perkara termasuklah kekurangan dalam akaun mengurus yang sebahagian
besar digunakan untuk bayaran gaji kakitangan kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai persoalan yang dibangkitkan Ketua
Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang mahukan perincian
dilakukan mengenai peruntukan itu, Kamarudin menyifatkan beliau tidak
tahu apa-apa mengenai pendapatan dan perbelanjaan kerajaan negeri.
Sepatutnya, beliau mengetahui segala perincian mengenai peruntukan itu
kerana bantuan kewangan dari kerajaan persekutuan adalah setiap tahun
dan Kelantan antara negeri tertinggi menerimanya.
Pada masa sama, Kamaruddin juga mahukan kerajaan negeri menjelaskan,
adakah wang tersebut betul-betul dibelanjakan kepada perkara yang
dinyatakan, sebagai contoh RM192 juta untuk penyelenggaraan jalan negeri
dan lain-lain.
Katanya, ini kerana rakyat melihat keadaan jalan negeri tidak
diselenggarakan dengan baik, malah ada sesetengah jalan negeri dilihat
seperti tidak dibaiki.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak mengumumkan
kerajaan pusat memperuntukkan RM400 juta kepada Kelantan dan antara
negeri tertinggi menerimanya daripada kerajaan.
Itu tidak termasuk peruntukan kepada agensi-agensi negeri, wang ihsan dan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-11.
0 orang berkata:
Post a Comment