DAP, PKR bawa haluan masing-masing
KUCHING - DAP dan PKR akan membawa haluan masing-masing pada pilihan
raya negeri (PRN) Sarawak, selepas kedua-dua pemimpin parti itu gagal
mencapai persetujuan dalam menyelesaikan kemelut di kerusi sama yang
ditandingi mereka.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata parti itu kini akan
memberi fokus terhadap kesemua 31 kerusi yang ditandinginya, dan tidak
akan lagi memikirkan berhubung perebutan kerusi dengan PKR.
Beliau mendakwa beberapa kawasan yang boleh dimenangi parti berkenaan
pada PRN Sarawak telah terjejas dengan tindakan PKR itu kerana mencabuli
perjanjian dengan DAP mengenai agihan kerusi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan manifesto
parti berkenaan bertemakan 'Perkongsian Kekayaan Demi Rakyat Sarawak',
di ibu pejabat DAP negeri, di sini hari ini.
DAP dan PKR akan bertembung di enam kerusi pada pilihan raya negeri
kali ini, di Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.
Sementara itu, PKR bertegas tidak mahu menarik balik calonnya di lima
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertindih dengan calon DAP, dan
menolak cadangan pelan damai yang dicadangkan Setiausaha Organisasi
Kebangsaan DAP, Anthony Loke, semalam.
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata parti berkenaan akan
kekal bertanding di kesemua enam kerusi yang bertindih dengan DAP itu.
"DAP tidak serius dalam tawaran pertukaran kerusi Batu Kitang, dengan
lima kerusi (Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong).
"Malah, jika dibandingkan dengan calon DAP yang dinamakan pada
saat-saat akhir, calon kami, Voon Shiak Ni (DUN Batu Kitang) telah
bekerja di kawasan itu lebih 10 hingga 15 tahun lepas dan lebih dikenali
berbanding calon lain," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan
Utama PKR, di sini.
DAP menampilkan muka baharu, Abdul Aziz Isa Marindo, 26, yang merupakan
pegawai khas kepada Chong, untuk bertanding di kerusi Batu Kitang.
Jayakumar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Loke, yang
mencadangkan jalan tengah bagi mengatasi masalah pertindihan kerusi
antara kedua-dua parti ialah PKR menarik balik lima calonnya bagi kerusi
Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.
Sementara, DAP akan menarik balik calonnya di kerusi Batu Kitang.
"PKR akan teruskan dengan agenda. Malah strategi kempen telahpun
bermula. DAP juga boleh meneruskan (agenda mereka)," kata Jayakumar. -
Bernama
3 orang berkata:
Haha pakatan yg tiada harapan.
Haha pakatan yg tiada harapan.
Manifesto DAP "Perkongsian KEKAYAAN demi rakyat Sarawak". Pelik je bunyinya.
Kekayaan nak diagih2kan kpd rakyat yg miskin ke? Atau apa maksudnya?
Post a Comment