Dedah dan miliki dokumen rahsia: Rafizi didakwa
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dihadapkan ke
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki dan mendedahkan
dokumen rahsia rasmi tanpa kebenaran, dua minggu lalu.
Mohd Rafizi bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan sebentar tadi.
Beliau didakwa ada dalam milikannya halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB tanpa kebenaran sah serta tidak berhak menyimpannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lobi Bangunan Parlimen, jam 3 petang pada 24 Mac lepas.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Pandan itu didakwa mendedahkan
kandungan halaman itu dalam satu sidang media tanpa kebenaran sah.
Perbuatan itu dilakukan di lobi Parlimen jam 3 petang pada 28 Mac lepas.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Abazafree
Mohd Abbas mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) dan (iv) Akta Rahsia Rasmi 1972
(Akta 88).
Jika sabit kesalahan, Mohd Rafizi bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Hakim, Zulqarnain Hassan membenarkan Mohd Rafizi dengan jaminan RM3,000
dengan seorang penjamin setelah membenarkan permohonan pendakwaan dan
pembelaan yang bersetuju dengan jumlah tersebut.
Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Mohd Rafizi mengaku tidak
bersalah menyiarkan tomahan terhadap Tabung Haji, dua bulan lalu.
Mohd Rafizi didakwa menyiarkan tomahan itu di www.rafizi.com di Tingkat
18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak, Dang Wangi pada 18
Februari 2016.
Majistret, Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membenarkan jaminan RM1,000
dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes.
Pada 5 April lalu, Mohd Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan ditahan
di luar Parlimen jam 6.20 petang untuk disiasat berhubung kaitan 1
Malaysia Developmen Berhad (1MDB) dengan LTAT di sidang media pada 28
Mac lepas.
Beliau mendakwa, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk
membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah
bersara.
Menurutnya, pendedahan tersebut terpaksa dibuat berikutan LTAT tidak berterus terang menjawab dakwaannya.
Rafizi sebelum ini mendakwa menerima aduan daripada pesara tentera
yang didakwa masih belum dibayar caruman meskipun selepas enam bulan
tamat perkhidmatan mereka.
Beliau berkata, 12,000 pesara tentera terlibat sejak tahun 2014 dan
menuntut Ketua Eksekutif LTAT Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin meletakkan
jawatan daripada lembaga itu kerana didakwa mempunyai konflik
kepentingan.
Lodin dilapor turut memegang jawatan sebagai pengerusi 1MDB.
0 orang berkata:
Post a Comment