SHAH ALAM – Ketua Umno Bahagian Jerantut, Ahmad Nazlan Idris menafikan laporan sebuah portal berita tempatan bulan lalu yang memetik kenyataannya berhubung tindakan pecat atau gantung Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut akui terkejut membaca kenyataannya yang diputar belit itu.
“Saya pelik apabila melihat dalam portal ini, ada kenyataan saya. Saya tidak pernah buat kenyataan itu. Saya pelik juga.

“(Ketika itu) saya kata, kita mengharapkan parti mengambil tindakan berdasarkan kepada kesesuaian sama ada penggantungan, pemecatan atau apa sahaja berdasarkan keperluan untuk pastikan Umno terus mantap. Tidak ada (saya cakap) secara ‘direct (merujuk mana-mana individu),” katanya kepada Sinar Online.


Bulan lalu, sebuah portal berita melaporkan Ahmad Nazlan berkata sekiranya pemimpin-pemimpin yang membelakangkan kepentingan parti dan bersekongkol dengan pembangkang untuk menyerang pucuk pimpinan itu dipecat atau digantung, ia keputusan terbaik demi menjaga keharmonian Umno.

Beliau dilaporkan berkata lagi tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Mukhriz bersekongkol dengan pembangkang, sangat mengecewakan dan dikecam oleh Umno bahagian itu.

Jelas Ahmad Nazlan, kenyataan yang dibuat ketika itu sangat berlapik tanpa merujuk sesiapa.

“Namun, sekiranya sudah benar-benar sampai ke peringkat itu (dipecat), kewajarannya ada, maka terpulang. Tapi saya tidak kata, pecat ketiga-tiga ini! Tidak.

“Kalau terbukti melanggar (peraturan), kemudian sudah tiada jalan walaupun kita sudah beri ruang, masih lagi menunjukkan seolah-olah orang kata berkerat rotan, berpatah arang, mungkin di situ ada keperluan (untuk pecat).

“Kalau nak buat pembersihan, lakukan secara menyeluruh tapi pada saya, Umno itu sendiri perlu melihat secara menyeluruh sebabnya kita bimbang bukan sahaja dua, tiga orang ini yang ada (wujud) tapi orang lain juga ada yang tunggu dan lihat.

Ketegasan perlu ada pada Umno kalau rasa itu punca penyakitnya, maka kena rawat,” katanya.