Pelajar dakwa patah tulang tangan dipukul ustaz
BALING - Seorang pelajar perempuan tingkatan satu sebuah sekolah
menengah di sini mendakwa patah tulang tangan selepas dihentak dengan
kerusi oleh seorang guru, Isnin lepas.
Farah Izzati Mohd Rohaizad, 13, berkata dalam kejadian 8.30 malam itu
dia bersama dua rakannya yang sebaya umur dipanggil oleh seorang ustaz
ke dewan makan sekolahnya itu untuk mengaji al-Quran.
Ketika sampai di dewan, ustaz berkenaan bertanya sama ada mereka boleh
membaca atau tidak tetapi Farah Izzati memberitahu dia uzur dan tidak
boleh membaca al-Quran.
Semasa Farah Izzati mahu mengambil tempat di kerusi berdekatan
dengannya di dewan makan itu, ustaz berkenaan secara tiba-tiba membaling
kerusi plastik dan mengenai bahagian pinggangnya dan dia terus beredar
menemani seorang rakannya, untuk mengambil al-Quran.
"Selepas kembali ke dewan makan dan mendapati tiada al-Quran di hadapan
saya, kepala saya dihentak kali kedua dengan kerusi namun saya sempat
menahan kepala sehingga kerusi berkenaan mengenai belakang tangan kanan
saya," katanya.
Setelah melakukan pemeriksaan, doktor di Hospital Daerah Baling
mengesahkan dua tulang belakang telapak tangan kanannya mengalami
keretakan dan patah.
Sementara itu, bapanya, Mohd Rohaizad Abdullah, 36, berkata, dia amat
kesal dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu kerana ia
sepatutnya tidak berlaku.
"Banyak lagi cara lain untuk diambil tindakan ke atas anak saya itu
jika dia benar-benar bersalah, bukan dengan cara memukulnya sehingga
mencederakannya," katanya yang telah membuat laporan polis hari ini.
Beliau turut kesal dengan pihak sekolah yang didakwa tidak memaklumkan
mengenai kejadian itu kepadanya dengan segera tetapi menunggu keesokan
harinya untuk berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffudin Yusof mengesahkan
telah menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dilakukan di
bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. - Bernama
1 orang berkata:
Ustaz2 mcm ni ramai dlm PAS. Mrk berilmu tapi tak beramal.
Post a Comment