Jangan hanya saman pengguna, tapi saman sekali syarikat
SHAH ALAM – Pihak berkuasa jangan sekadar menyaman pengguna lebuh raya
sebaliknya tekanan harus turut dikenakan syarikat konsesi tol untuk
mengatasi masalah kesesakan lebuh raya.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah
kesesakan lebuhraya setiap kali musim perayaan dan cuti adalah masalah
bersama yang bukan hanya harus dipikul oleh pengguna lebuh raya sahaja.
“Rakyat sudah ditekan dengan kekerapan kenaikan tol dari semasa ke
semasa. Untuk berlaku adil, kerajaan harus mengenakan tekanan kepada
syarikat konsesi tol untuk mencari formula menyelesaikan kesesakan di
plaza tol.
Seperti para pengguna lebuhraya, syarikat konsesi tol yang gagal
mengatasi masalah kesesakan di sepanjang lebuhraya, terutamanya
kesesakan di plaza tol juga mesti disaman,” katanya menerusi kenyataan,
hari ini.
Katanya lagi, tindakan pihak berkuasa menyaman dan memasang perangkap
had laju secara tersembunyi tidak akan membantu pengguna supaya selamat
tiba di destinasi.
Malah ia hanya bertujuan menghukum dan mengikis duit pengguna lebuh raya.
“Kalau menyelamatkan nyawa para pengguna lebuhraya menjadi keutamaan
perangkap hadlaju, maka sepatutnya perangkap hadlaju harus dipasang di
selekoh-selekoh maut lebuhraya secara terang-terangan tanpa perlu
bersembunyi.
“Pengguna lebuhraya pula diberikan amaran seawal 5km sebelum tiba di
destinasi perangkap had laju yang dipasang agar mereka dapat
mengurangkan kelajuan kereta sebelum tiba di selekoh maut supaya mereka
boleh melalui mana-mana selekoh maut dengan kadar laju yang selamat dan
tidak membahayakan diri dan keluarga,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment