ALOR SETAR – Majlis Kerabat Diraja Kedah menzahirkan rasa kecewa dan
kesal terhadap kenyataan dibuat Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi
Ahmad yang mendakwa ‘Malaysian Official One’ (MO1) adalah Yang
di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Yang Dipertuanya, Syed Idrus Syed Baharom berkata, tindakan tersebut
adalah tidak berasas dan bertanggungjawab kerana mengaitkan Tuanku yang
juga Sultan Kedah dalam isu berkenaan.
“Saya tak faham dengan Nawawi ini, baru-baru ini ramai orang buat
laporan polis mengenai masalah ini. Dengar kata benda ini dah macam
jenayah, tapi tak mengaku dan mengatakan tidak libatkan Agong pula.
“Kami sebagai Majlis Kerabat Diraja Kedah rasa kecewa dan kesal
mengikut apa yang dibuat oleh Nawawi di Facebooknya mengatakan MO1 itu
adalah Agong. Saya tak kisah dia nak sebut apa sekalipun, tapi jangan
kaitkan ia dengan Agong,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, Nawawi selaku wakil rakyat tidak wajar mengeluarkan
kenyataan sedemikian apatah lagi membuat dakwaan tanpa mendapatkan
pengesahan daripada pihak yang mula menyebut MO1 iaitu Jabatan Kehakiman
(DOJ) Amerika Syarikat sebelum mendakwa siapa individu yang
dimaksudkan.
“Kalau kata Agong, itu darah daging kami. Saya tak suka orang buat
macam ini. Hari ini banyak pihak yang tak kenal siapa Agong, siapa alim
ulama dan siapa kadi. Kita kena faham betul-betul siapa itu Agong,
adakah Agong layak bersama pihak-pihak lain di negeri ini.
“Agong sebagai pemerintah, bukan pentadbir. Kenapa libatkan dia? Saya
tak mahu dengar lagi cerita macam ini. Selalu kita buat laporan sana...
laporan sini... tapi tak ada apa-apa tindakan yang berkesan kerana
kelemahan kerajaan kita ataupun pentadbiran negeri-negeri,” katanya.
Syed Idrus berkata, jika dibandingkan dengan negara jiran sudah tentu
gelaran Datuk yang dimiliki Nawawi akan ditarik semula termasuk
dikenakan hukuman penjara sekiranya diambil tindakan.
“Saya perhatikan pentadbiran hari ini kadang-kadang berat sebelah.
Kalau orang yang tak mentadbir atau bukan kerajaan, dia boleh ambil
tindakan macam-macam. Tapi kalau kena pada orang yang berkenaan seperti
wakil rakyat dan ahli parlimen, mungkin tiada apa-apa tindakan diambil.
“Saya rasa kesal. Sepatutnya kerajaan kena timbang sama rata dan
tentukan salah atau benar, jangan pilih bulu. Pada hari ini saya
perhatikan banyak yang pilih bulu (berat sebelah),” katanya.
Tegasnya, mana-mana pihak sekalipun sekiranya ingin berpolitik disarankan supaya tidak melibatkan istana.
“Ini amaran keras bukan saja kepada Nawawi, tapi sesiapa saja rakyat
supaya jangan libatkan perkara-perkara macam ini. Kami pihak Kerabat tak
mahu dengar lagi hal macam ini, walau sesiapa pun dengan pihak istana.
“Dia (Nawawi) patut nilai diri dia. Dia kata macam tak bersalah, macam
mana nak minta maaf. Tapi dia pada mata umum bersalah, patut menghadap
Tuanku dan minta ampun. Bukan setakat masuk dalam akhbar dan televisyen
saja, dia kena atur satu hari minta menghadap Agong dan minta ampun
secara rasmi. Kalau minta maaf dalam akhbar ia seperti hilang diambil
angin lalu saja,” katanya.
Tambahnya, apa pun penjelasan Nawawi berhubung maksud MO1, beliau
hendaklah mendapatkan penjelasan sebenar daripada pihak berkenaan yang
menyebut MO1 sebelum membuat sebarang komen atau dakwaan.
“Kita nak buat apa-apa pun kena siasat dulu. Dia sebagai ahli parlimen
pula kena ambil tahulah. Ini soal maruah paling besar sekali. Dulu
orang sanggup berperang kerana maruah,” katanya.
1 orang berkata:
Kalu mat sabu yg cakap gitu, unta2, keldai2, walaon2 dan tn hj baghal dah kasi barua sama dia dah.. Tang member ni, dia buat pekak badakkkk aje
Post a Comment