• Guan Eng Guan Eng
1 / 1
GEORGETOWN - DAP masih lagi menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh walaupun dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya tujuh tahun lalu.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, kelayakan Anwar sebagai ahli parlimen masih sah sehingga tempoh 14 hari seperti yang termaktub dalam Perkara 48 (4), Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Anwar juga masih boleh membuat petisyen pengampunan kepada Sultan dan Raja dalam tempoh berkenaan dan kelayakannya masih sah sehingga keputusan dikeluarkan.

"Beliau masih lagi Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang Parlimen yang sah. Jika  tidak mahu memohon pengampunan, beliau masih lagi ahli parlimen dan ketua pembangkang untuk 14 hari.

"Saya biasa dengan perkara ini kerana pernah dipenjarakan pada 1998 bawah Akta Hasutan." katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, DAP tidak pernah membincangkan pengganti Anwar termasuk dalam mesyuarat PR malam kelmarin.

Beliau juga enggan mengulas laporan mengenai Pas akan membincangkan calon pengganti Anwar dalam tempoh terdekat.

"Jangan cetuskan sebarang spekulasi kerana perkara ini tidak pernah dibincangkan langsung dan DAP tidak pernah menyuarakannya.

"Apa-apa kenyataan mengenai DAP akan dikeluarkan saya sendiri selaku setiausaha agung," katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP dan kerajaan negeri masih berdiri teguh di belakang Anwar dan sentiasa menunggu sehingga beliau keluar dari penjara nanti.

"Kita akan meneruskan perjuangan walaupun ia akan lebih sukar dan mencabar," katanya.