• Tun Dr Mahathir Mohamad Tun Dr Mahathir Mohamad
1 / 1
PETALING JAYA - Ketika rakyat di seluruh negara sedang menanti calon yang akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, satu saranan luar biasa dibuat oleh ahli PKR meminta parti itu melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengganti Anwar.

Pengerusi Kelab Akar Umbi PKR, Johari Musa berkata, cadangan tersebut dilakukan selepas mempertimbangkan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di akhbar Sinar Harian yang menyebut Dr Mahathir seolah-olah telah mengambil alih tugas ketua pembangkang kerana lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ahli politik di Malaysia tidak selamanya menjadi musuh. Sebagai contoh Anwar sendiri sewaktu dalam BN tidak suka pemimpin DAP dan Pas, kini mereka bersepakat demi keadilan untuk rakyat.

“Begitu juga yang dengan DAP dan Pas, kini mereka bersepakat di bawah satu wadah perjuangan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum mencadangkan Dr Mahathir sebagai ketua pembangkang di ibu pejabat PKR, semalam.

Menurutnya, sudah tiba masanya PKR berfikiran terbuka demi masa hadapan politik Malaysia dan Anwar.

Johari yang juga Naib Ketua Cabang PKR Lembah Pantai berharap PKR dapat melupakan sejarah hitam antara Anwar dengan Dr Mahathir dan percaya pemimpin DAP dan Pas menghormati Dr Mahathir.

“Saya percaya Pas dan DAP tidak akan membantah jika Dr Mahathir menyertai PKR demi kemenangan PR, seterusnya membebaskan Anwar,” katanya.

Penyerahan memorandum itu dihadiri kira-kira 20 ahli Kelab Akar Umbi PKR dan diserahkan kepada wakil Dr Wan Azizah, Nurul Huda Zainudin.