• Peserta perhimpunan berarak dari Jalan Tunku Abdul Rahman hingga Pudu Sentral dengan melaungkan 'Reformasi, Bebas Anwar,' semalam. Peserta perhimpunan berarak dari Jalan Tunku Abdul Rahman hingga Pudu Sentral dengan melaungkan 'Reformasi, Bebas Anwar,' semalam.
1 / 1
KUALA LUMPUR - Perhimpunan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan #KITALAWAN yang berlangsung di hadapan kompleks beli belah Sogo, semalam, dilihat kurang mendapat sambutan.

Dianggarkan ratusan penyokong Anwar berpakaian serba hitam berkumpul di hadapan pusat membeli belah itu sambil melaungkan ‘Reformasi’ dan ‘Bebas Anwar’.

Perhimpunan bermula tepat jam 4.30 petang itu dibuat sebagai sebahagian daripada kempen March to Freedom anjuran ahli keluarga Anwar bagi membebaskannya daripada hukuman penjara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad yang menghadiri perhimpunan itu berkata, beliau berharap himpunan tersebut akan diteruskan dalam usaha menggalakkan reformasi yang lebih besar.

“Ini mesej jelas bahawa anak muda mahu bangkit,  tidak mahu lagi berada di bawah kerajaan yang kejam,” katanya dalam ucapan beliau.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah anak sulung Anwar, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR.

Kelihatan beberapa anggota polis mengawal keadaan sebelum perhimpunan bersurai secara aman pada jam 6 petang.