• Mohamad Sabu Mohamad Sabu
1 / 1
KOTA BHARU - Isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan yang diperjuangkan DAP akan dibincangkan dalam mesyuarat Pas pada masa akan datang, kata Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.

Beliau berkata selepas selesai dibincangkan di peringkat partinya, isu tersebut akan dibincangkan pula dalam pakatan pembangkang.
 
"Soal parti memberi pandangan masing-masing itu perkara biasa dalam parti politik," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran gabungan impian Kelantan bagi mengumpul sumbangan untuk membantu mangsa banjir di negeri ini, di sini, malam tadi.

Ketika ditanya tindakan Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali yang mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk berdebat berhubung isu pilihan raya PBT itu yang menjadi kemelut antara Pas dan DAP, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu cuba mengelak dengan berkata "Tak mahu komen apa-apa".

Akhbar sebelum ini melaporkan Mustafa mencabar Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, bersemuka berikutan dakwaan Lim bahawa beliau (Mustafa) tidak jujur dalam isu pelaksanaan pilihan raya PBT. - Bernama