• Mohamed Azmin Ali Mohamed Azmin Ali
1 / 1
PUTRAJAYA - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini memberitahu PR bakal mengadakan mesyuarat antara parti dalam tempoh 24 jam bagi membincangkan hala tuju.

"Kita akan merangka gerak kerja PR pada mesyuarat ini," katanya ketika ditemui media di luar mahkamah, hari ini.

Difahamkan, satu sidang media akan dibuat pada jam 9.30 malam ini di Ibu Pejabat PKR.

Sementara itu, ketika mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata, keputusan itu tidak akan melemahkan PR.

Menurutnya, PR akan lebih kuat untuk meneruskan perubahan dalam perjuangan.

"Ia sangat mengejutkan semua pihak sebenarnya. Namun, keputusan itu membawa PR ke arah perubahan dan menolak kezaliman," katanya.

Beliau berkata, Anwar juga sempat berpesan kepadanya agar pimpinan dan anggota parti teruskan perjuangan untuk membawa perubahan.