• Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR, malam ini. - Foto SINAR HARIAN oleh ROSLI TALIB dan AFIQ RAZALI

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR, malam ini. - Foto SINAR HARIAN oleh ROSLI TALIB dan AFIQ RAZALI
1 / 1
PETALING JAYA - "Pemenjaraan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan melemahkan semangat dan daya juang PKR," demikian ujar Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di sini, malam ini.

Bercakap kepada pemberita, Wan Azizah menegaskan, kepimpinan dan jentera PKR akan terus diperkukuh untuk meneruskan perjuangan melaksanakan agenda rakyat demi negara yang lebih baik.

"Kes ini jelas adalah satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari semakin mengancam kedudukan parti lawan. Kami juga tekad untuk memperkukuhkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat," tambahnya lagi.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara yang dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu sekali gus menolak rayuan Anwar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bersalah, mahkamah tangguh sejam]

Sehubungan dengan itu, beliau akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman penjara lima tahun bermula hari ini.

Menurut Wan Azizah lagi, PKR akan memfailkan usul di Parlimen bersabit keputusan mahkamah memenjarakan Anwar.

Pihaknya juga meminta penyokong mengadakan himpunan sebagai tanda solidariti terhadap Anwar di hadapan penjara Sungai Buloh.

"Kami juga aturkan solat hajat pada hari Khamis malam Jumaat ini di setiap Cabang PKR seluruh negara. Kami istiqamah dan komited untuk tidak mensia-siakan pengorbanan saudara Anwar.

"Seperti saudara Anwar, kami juga tidak akan sekali-kali mengalah. “We will never surrender!” tegasnya lagi.