Kisah Alibaba, Najib dan RM144b...
ALI Baba, satu watak dongeng yang memang tidak asing
lagi di seluruh dunia. Melalui Kisah Ali Baba dan 40 Penyamun, cerita
yang penuh tauladan sudah pun dibaca dengan penuh minat oleh ramai orang
sama ada melalui karya buku cerita ataupun tayangan filem.
Hari ini, nama Ali Baba terus menjadi sebutan ramai. Namun, ia sudah
bukan lagi menjadi bahan cerita dongeng, tetapi sebagai syarikat
korporat yang mampu menggegar dan mengubah dunia.
Syarikat Kumpulan Alibaba kini sudah masyhur di segenap pelosok dunia
malahan laman web ‘alibaba.com’ menjadi buruan ramai, khasnya kepada
golongan korporat dan pelanggan yang ingin membeli apa juga barangan
melalui ‘online’.
Apa yang menghairankan, usahawan yang memilih ‘Ali Baba’ sebagai nama
syarikatnya bukanlah bangsa Arab ataupun Melayu, tetapi adalah seorang
peniaga dari Hangzhou, China yang bernama Jack Ma Yun.
Antara Jack Ma dan Alibaba sudah tidak boleh dipisahkan. Sebut saja
‘alibaba’, tokoh yang pertama terlintas dalam fikiran semua orang sudah
pastinya ialah Jack Ma, seorang lelaki dengan fizikalnya agak kecil
namun jiwanya cukup besar, berwawasan dan semangat kental dan tidak
cepat putus asa.
Kata Jack Ma, beliau sengaja menamakan syarikatnya sebagai ‘alibaba’
kerana nama itu mempunyai nilai antarabangsa apatah lagi semua orang
sudah mengenalinya.
Pada tahun 1994, beliau mendapat idea untuk meletakkan nama syarikatnya
sebagai Alibaba ketika berada di sebuah restoran, New York, Amerika
Syarikat. Beliau bertanyakan seorang pelayan dalam restoran itu apakah
dia kenal ‘Alibaba’? Jawapan yang diterimanya adalah ‘ya’.
Begitu juga dengan 20-30 orang lagi yang ditemui di tepi jalan. Semua
orang memberikan jawapan sama - semua kenal ‘Alibaba’. Akhirnya tanpa
berfikir panjang, Jack Ma membuat keputusan guna nama watak dalam cerita
dongeng Arab itu untuk syarikatnya sehingga berjaya mengaut keuntungan
berbilion-bilion ringgit pada hari ini.
Jack Ma kini menjadi satu nama yang cukup digeruni dalam dunia
teknologi maklumat era kini. Beliau bukan sahaja dihormati oleh
tokoh-tokoh korporat dunia, malahan kepakarannya amat dihargai oleh
pemimpin-pemimpin dunia.
Pertemuan Jack Ma dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di
Beijing, China Jumaat lalu menarik perhatian dunia apabila Pengasas dan
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba itu bersetuju dilantik sebagai
penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia.
Pelantikan itu sudah tentu akan mencetuskan mengenai idea terbaru yang
bakal diilhamkan oleh taikun internet China ini dalam pembangunan
ekonomi digital Malaysia.
Dalam Bajet 2017 diumumkan Najib bulan lalu, sejumlah RM162 juta
diperuntukkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk
program seperti ekosistem e-dagang dan Digital Maker Movement, serta
pengenalan kategori lokasi baharu yang dipanggil Hab Digital Malaysia.
Jelas menunjukkan Malaysia cukup serius untuk membangunkan sektor
e-dagang sehingga mendapat khidmat daripada Jack Ma yang sudah tentunya
mampu mengubah cara hidup rakyat Malaysia dalam menjalankan aktiviti
perniagaan internet dalam beberapa tahun akan datang.
Jack Ma dalam majlis pertemuan dengan Najib dan rombongan dari Malaysia
itu cukup menghargai pelantikan itu. Beliau dipercayai diberi tugas
menasihatkan kerajaan Malaysia dan membantu dalam menerokai, memajukan
dan menentu hala tuju masa depan negara dalam sektor ekonomi digital.
Pada September lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo turut melantik
Jack Ma sebagai penasihat e-commerce untuk kerajaan negara itu.
Jack Ma, yang dilahirkan pada 10 September 1964, sudah memang diakui
sebagai seorang tokoh perniagaan yang berfikiran luar biasa.
Kemunculannya dalam dunia perdagangan melalui teknologi maklumat kerap
menjadi kontroversi lebih-lebih lagi ketika melakukan keputusan mengejut
sehingga berjaya meraih beratusan juta ringgit dalam sekelip mata.
Pada awal tahun ini, Jack Ma dicatatkan memiliki kekayaan sebanyak
AS$29.9 bilion (RM120 bilion) dengan menduduki tempat ke 21 orang
terkaya di dunia dan orang ketiga terkaya di rantau Asia.
Berasal dari sebuah keluarga yang miskin, Jack Ma namun tidak pernah
putus asa untuk memburu hidupnya untuk berjaya. Beliau pernah menjadi
pendidik dengan mengajar subjek bahasa Inggeris di sekolah menengah
sebelum ditugaskan mengajar di universiti dengan gaji RMB120 ( RM75)
sebulan.
Beliau juga pernah menganggur agak lama walaupun cuba memohon pelbagai
jenis kerja. Namun semua itu tidak melemahkan semangatnya untuk mencari
kejayaan.
Dalam beberapa tahun akan datang, rakyat Malaysia perlu memerhati
‘gerak-geri’ tauke Alibaba.com ini. Beliau terbukti telah mengubah
urusan perniagaan online dengan pantas dan pintar. Kita mahu tak mahu
perlu akur dunia tanpa sempadan ini telah diambil oleh Ma dengan meraih
kekayaan yang tidak terbatas.
Sebagai ikon global dalam bidang e-dagang, Jack Ma akan membantu negara
kita dalam menyediakan pakej e-ekonomi dari segi pelaksanaannya
termasuk e-pembayaran, Alipay, e-pembiayaan perbankan dalam talian dan
sebagainya.
Kegiatan ekonomi dan pembangunan Malaysia dalam tempoh 10-20 tahun akan
datang ini bakal berubah dengan kehebatan Jack Ma dan syarikat-syarikat
korporat dari China ini. Syarikat-syarikat asing inilah akan bantu kita
menjalankan pelbagai projek mega.
Kunjungan Najib ke China selama enam hari itu bukan sahaja membuka
lembaran baru dengan menemui tokoh-tokoh usahawan di negara itu termasuk
Jack Ma, malahan telah mencatatkan rekod dalam sejarah negara apabila
memeterai 14 perjanjian dengan China yang bernilai sehingga RM144
bilion. Selain itu, Malaysia dan China turut memeterai 16 perjanjian dan
MoU antara kerajaan dengan kerajaan.
Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan masih perlukan bantuan daripada negara luar.
Jadi apakah Jack Ma akan menjadi seperti Alibaba yang mempunyai jiwa
besar untuk menolong 'orang miskin' seperti dalam cerita Alibaba dan 40
Penyamun itu?
Antara projek dan perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dengan
China ini termasuk pembinaan landasan kereta api pantai timur yang
bernilai RM55 bilion; pembelian empat buah kapal perang Littoral Mision
Ship (LMS); pembinaan kilang keluli di Sarawak; pembinaan Taman
Teknologi Hijau di Pekan, Pahang; pembinaan Taman Perindustrian
Kuantan-China dan sebagainya.
Hubungan yang cukup akrab terjalin antara Najib dan kerajaan China
dengan memberikan projek menelan ratusan bilion ringgit kepada negara
kuasa besar Asia itu mendorong ramai pemerhati politik antarabangsa
mempercayai apakah itu salah satu tindakan yang memberikan tekanan
kepada sebuah lagi negara kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat.
Begitu juga andaian yang dibuat untuk perkembangan politik dalam tanah
air sendiri. Apakah Najib untuk ‘berbaik-baik’ dengan China boleh
dianggap satu cara secara tidak langsung menarik semula sokongan kaum
Cina untuk BN pada pilihan raya umum akan datang?
Kenyataan beliau perlu difahami kerana sejak sekian lama, jumlah
perdagangan antara China dengan Malaysia amatlah banyak dan sememangnya
telah membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak.
Kemajuan teknologi dari China perlu kita akui sebagai antara yang
tercanggih di dunia. Alibaba dan syarikat-syarikat besar dari China
bukan sahaja akan dikenali kita dengan lebih dekat, malahan pastinya
mempengaruhi cara hidup kita ke alam dunia yang lebih cekap dan moden.
Najib sendiri telah menegaskan kerjasama dengan China bukanlah untuk
menjual negara. Namun apakah kita sudah bersedia menerima perubahan dan
pembaharuan yang dibawa oleh 'Negara Tembok Besar' ini?
Sama ada bersedia atau tidak, yang pasti, kata-kata sindiran 'Balik
Tongsan' yang ditujukan kepada kaum Cina sebelum ini bukan sahaja perlu
ditarik balik, malahan nampaknya sudah tidak praktik lagi kerana
'Tongsan' sendiri sudah datang ke Malaysia !
2 orang berkata:
Pakkaramu bloq no 1 bg ku teruskan perjuangan biar dikutuk budak berhingus oren pan
Aku juga suka blog ni...sebab ade menyiarkan ramalan no togel.
Post a Comment