Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

PILIHANRAYA SANGAT HAMPIR, PAKATAN HARAPAN MASIH LOK LAK ?

Pembangkang jangan loklak
Datuk Sai­fuddin Abdullah
Sai­fuddin Abdullah


KALAULAH Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan (PH)-PPBM di Konvensyen PH pada 12 November 2016, iaitu seperti yang telah dipersetujui, maka, hari ini, kita sudah pun mempunyai satu gabungan empat parti pembangkang, dan bolehlah mengambil langkah berikutnya, iaitu berunding dengan parti-parti pembangkang lain.

Muhyiddin hadir dan berucap di konvensyen tersebut. Menurutnya, beliau memerlukan masa untuk memperhalusi perjanjian ini. Kini, ia dijangka ditandatangani hujung November ini.

Perjanjian PH-PPBM mengandungi perkara-perkara fundamental. Pertama, perkara-perkara yang telah pun terkandung dalam Perjanjian PH (Januari 2016), iaitu Perlembagaan Persekutuan, Islam, Melayu/Bumiputera, Raja-raja, bahasa Melayu dan Sabah dan Sarawak.

Kedua, Agenda Reformasi. Dan ketiga, meneruskan perundingan dengan parti-parti pembangkang lain bagi mewujudkan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang melawan BN untuk memenangi PRU14 dan membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.    

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyampaikan pidato khas di konvensyen itu, lebih jelas dan tegas.

Beliau menyatakan kesediaan PPBM menyertai PH dan perlunya gabungan pembangkang bertanding menggunakan satu logo. Menurutnya, sekiranya Pas tidak menyertai gabungan pembangkang, Pas berkemungkinan mensabotaj gabungan tersebut.

Pokoknya, keempat-empat parti – Keadilan, DAP dan Amanah (PH) dan PPBM – yang berpartisipasi dalam konvensyen itu bertekad untuk memenangi PRU14.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Muhyiddin, yang duduk sebaris di konvensyen itu, membayangkan barisan Kabinet baharu selepas PRU14.

Konvensyen menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri. Yang sinis akan mengatakan, kerana ia konvensyen PH, ini memang dijangkakan. Tetapi, sebenarnya, memang terdapat banyak bukti yang mengesahkan kelayakan Anwar.

Contohnya, dalam buku Johan Saravanamuttu, Power Sharing in a Divided Nation, jelas didokumenkan faktor Anwar mencetuskan Gerakan Reformasi, penubuhan Keadilan dan Pakatan Rakyat (kini PH) yang mendapat dukungan hangat rakyat pada skala yang tidak pernah berlaku sebelumnya dan kekal sehingga kini.

Perundingan dengan parti-parti pembangkang lain perlu ada panduan. Dua perkara boleh dijadikan kompas: idealisme perjuangan dan tempoh masa.

Dari segi idealisme perjuangan, gabungan pembangkang hendaklah bersetuju dengan matlamat membangun Negara Ulung yang maju, makmur dan bahagia, kedaulatan Perlembagaan dan pelaksanaan Agenda Reformasi.

Ini termasuk mengamalkan Politik Baru dan menggantikan konfigurasi politik perkauman BN, iaitu consociationalism dan “dominan-Bumiputera”/”dominan-Bumiputera/Muslim”, yang lebih ekstrem perkaumannya, dengan tawaran PH, iaitu centripetalism – multi-ras/budaya, centrist, inklusif, moderat dan progresif.

Juga menawarkan dasar-dasar yang berasaskan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk Naratif Melayu yang lebih baik daripada yang ditawarkan Umno selama ini.

Gabungan pembangkang hendaklah mendengar suara dan kehendak rakyat. Oleh kerana rakyat inginkan pilihan raya yang bersih dan adil, maka, gabungan pembangkang hendaklah menyertai Bersih 5.

Oleh kerana rakyat menderita akibat dasar kewangan dan ekonomi BN, maka, ahli-ahli parlimen gabungan ini hendaklah mengundi menolak Bajet BN 2017.

Perundingan memungkinkan kompromi. Tetapi, perkara pokok seperti Agenda Reformasi tidak boleh dikompromi kerana ia DNA PH.

Dari segi tempoh masa, memanglah bukan mudah untuk berunding. Tidak wajar terburu-terburu. Tetapi, tertangguh-tangguh hingga menyukarkan persiapan menghadapi PRU14 juga tidak wajar.

Justeru, perlu diadakan tarikh ditamatkan perundingan, contohnya, pada hujung tahun ini.

Di akar umbi, rakyat dan aktivis parti-parti PH ternanti-nanti. Ada yang seakan-akan mulai tawar hati. Di Konvensyen PH Perak pada 6 November 2016, saya mendengar suara ramai yang menggelar parti pembangkang tertentu, yang terkenal tidak tetap pendirian  – “Parti Luk Lak”.

Saya bimbangkan kalau tiba harinya apabila rakyat menggelar PH – “Pakatan Loklak”.

#Datuk Saifuddin Abdullah (Twitter: @saifuddinabd) ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan.

1 orang berkata:

Anonymous said...

2x5 ngan umno dan pas ape x loklak nye hehe

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.