26/06/14
Makcik Wahida berjaga malam bimbang rumah diroboh
KUALA LUMPUR: Wahida Mat Salleh, 73,
atau lebih dikenali sebagai Makcik Wahida terpaksa berjaga malam secara
bergilir-gilir dengan suaminya kerana risau rumahnya diroboh Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara mengejut.
Makcik Wahida merupakan seorang penduduk
di Kampung Chubadak Tambahan merupakan salah seorang mangsa apabila
rumah mereka dirobohkan DBKL sebelum ini.
Beliau ketika ditemui Harakahdaily
memberitahu akan terus mempertahankan rumahnya walaupun DBKL tetap
bertegas untuk merobohkannya.
"Sekarang makcik terpaksa berjaga setiap malam bergilir-gilir sebab takut rumah ini diroboh secara mengejut.
"Makcik akan terus mempertahankan rumah
ini selagi tidak ada keadilan untuk makcik, menang atau kalah makcik
akan tetap duduk di sini," katanya.
Beliau yang menjelaskan pernah menolak
pembangunan tetapi kerajaan perlu bersikap adil dan memberi pampasan
yang sewajarnya dan bukannya mengambil kesempatan.
"Hormatilah orang tua seperti makcik,
kita tidak pernah menolak pembangunan tetapi biarlah keadilan diberikan
sewajarnya dan jangan mengambil kesempatan dari usia makcik ini,"
jelasnya yang turut mengidap sakit jantung, paru-paru dan darah tinggi.
Ketika ditanya mengenai keputusan
mahkamah yang akan diketahui esok 26 Jun yang berkemungkinan DBKL akan
terus bertindak merobohkan rumahnya, beliau memberitahu akan terus
mempertahan dari rumahnya diroboh.
"Harapan makcik kepada pemerintah atau
orang yang berkenaan tolong beri kerjasama dan beri inisiatif terbaik
untuk kami sepertimana yang kami pohon.
"Makcik cekal hati Allah tetap melindung
orang yang benar, apa yang akan terjadi makcik akan pertahankannya,"
sambung beliau yang telah menetap di Kampung Chubadak hampir 45 tahun.
Harakahdaily sempat meninjau sekitar rumah yang telah diroboh itu memdapati keadaan tidak terurus untuk seorang warga tua.
Beliau yang kini mendiami rumah yang
dibina sebelah tapak rumah asal secara bergotong royong penduduk
setempat hanya sekadar tempat untuk berteduh, manakala untuk kemudahan
bilik air beliau terpaksa pergi ke tempat rumah asal yang telah diroboh.
- HARAKAHDAILY
0 orang berkata:
Post a Comment