Sanggup berkorban demi isteri
- Hasmuddin setia menjaga isterinya yang lumpuh di kediaman mereka di Kedai Pulai Chondon, Kelantan.
Menurut Hasmuddin Derahman, 65, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak sanggup melihat isterinya, Robiah Abdullah, 59, terlantar sendirian di rumah mereka akibat serangan angin ahmar.
Situasi itu lebih membimbangkan apabila tahap kesihatan Robiah merosot sejak setahun lalu.
Bagi Hasmuddin, biarlah kali ini dia berkorban untuk isterinya kerana sebelum ini wanita tersebut telah banyak berkorban untuknya dan keluarga.
Hasmuddin memberitahu, dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sebanyak RM100 sebulan.
Namun katanya, jumlah tersebut tidak memadai bagi menampung perbelanjaan keperluan Robiah.
Katanya, hampir kesemua wang simpanan digunakan bagi menampung perbelanjaan harian mereka memandangkan bantuan JKM dan JHEV baru dua hingga tiga bulan kebelakangan ini diterimanya.
“Dulu saya tak tahu ke mana nak mengadu, jadi saya gunakan duit simpanan yang ada serta bantuan anak-anak bagi menampung perbelanjaan harian.
“Saya bukan tidak mahu bekerja tetapi bimbang jika sesuatu berlaku kepadanya ketika saya keluar. Saya juga berterima kasih kepada Sinar Harian yang menyiarkan kisah kami dan alhamdullilah ada juga hamba ALLAH dan agensi kerajaan yang tampil datang bertanya khabar kami berdua,” katanya.
Hasmuddin berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan mereka termasuk lampin pakai buang, ubat tambahan, perbelanjaan ke hospital dan makanan.
Robiah mula terlantar sakit pada 1991, tetapi masih boleh bergerak dan menguruskan keluarga demi membantu Hasmuddin yang bekerja dengan syarikat kuari di Gua Musang.
Bagaimanapun, kesihatannya merosot apabila badannya tidak boleh bergerak dan hanya terlantar sejak tahun lalu sekali gus situasi itu memaksa Hasmuddin berhenti kerja.
“Saya terima keadaan ini sebagai ujian ALLAH dan saya gembira dia (Robiah) tetap bersama saya biarpun keadaannya tidak seperti dulu lagi.
"Dia pernah menjadi tulang belakang, kekuatan keluarga kami dan akan tetap menjadi kesayangan kami untuk selama-lamanya.
“Saya berjanji akan jaganya sebaik mungkin,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan kesusahan pasangan ini boleh menghulurkan bantuan ke akaun Maybank, 103025013953 (Hasmuddin) atau menghubunginya di talian 019-9949007.
0 orang berkata:
Post a Comment