• Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebenarnya turut mendapat tentangan daripada penjawat awam.

Rafizi berkata, bagi menambat semula hati penjawat awam, kerajaan terpaksa menawarkan pelbagai 'janji manis' kepada mereka.

"Hakikat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Tun Razak terpaksa menawarkan 'gula-gula' seperti itu kepada penjawat awam, mengesahkan tentangan hebat golongan itu kepada keputusan BN dalam melaksanakan GST.

"Jika tidak, masakan beliau sendiri terpaksa membuat pengumuman sedemikian rupa, apatah lagi dengan desakan Ceupacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam)  agar gaji dinaikkan bagi membantu kakitangan awam berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri kelmarin, bahawa pelaksanaan GST membolehkan kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun penjawat awam.

Najib berkata, kerajaan memerlukan hasil tambahan baharu bagi memenuhi permintaan itu dan sistem GST yang lebih efisien dilihat dapat membantu menambah pendapatan negara dan sekaligus dapat membantu golongan tersebut.

Dalam pada itu, Rafizi menegaskan, tawaran tersebut seolah-olah menidakkan peranan majoriti rakyat.

"Saya cukup kritikal dengan kenyataan PM  itu kerana wang yang dikutip melalui GST ini kebanyakannya datang dari majoriti rakyat yang tidak bekerja dengan kerajaan.

"Alasan PM untuk mengutip cukai demi menawarkan pelbagai ganjaran kepada penjawat awam seolah-olah mencukai rakyat biasa untuk memenangi hati penjawat awam.

"Bagi saya, kenyataan PM tersebut menggambarkan kegagalan BN untuk meyakinkan rakyat bahawa ada alasan kukuh untuk melaksanakan GST yang akan membebankan rakyat ini," jelasnya lagi.