• NURUL IZZAH
1 / 1
KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini menetapkan tarikh 7 Ogos depan bagi perbicaraan kes perceraian Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Hakim Syarie Ab Malek Awang menetapkan keputusan terbabit bagi membolehkan pihak defendan meneliti dan menilai laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pendamai terhadap kes perceraian Izzah dan pasangannya selaras dengan Seksyen 47 (8)(9) dan (10).

Semasa perbicaraan, defendan iaitu suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili oleh peguamnya, Zulkifli Che Yong.

Menurut peguam defendan, laporan tersebut perlu diteliti oleh pihaknya sebelum meneruskan segala prosiding ke atas kes tersebut diteruskan.

“Dalam Seksyen tersebut, mahkamah boleh memberi arahan kepada Jawatankuasa Pendamai mengenai penjalanan pendamaian dan ia hendaklah menjalankannya mengikut arahan itu, jika jawatankuasa itu tidak dapat bersetuju atau jika Mahkamah tidak berpuas hati mengenai penjalanan perdamaian itu, Mahkamah boleh memecat jawatankuasa itu dan melantik jawatankuasa lain bagi menggantikannya.

“Jawatankuasa itu hendaklah meminta pihak-pihak itu hadir dan hendaklah memberi tiap-tiap seorang daripada mereka peluang untuk didengar dan boleh mendengar mana-mana orang lain dan membuat apa-apa penyiasatan yang difikirkannya patut dan boleh, jika ia fikirkan perlu, menangguhkan prosidingnya dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita.

Nurul Izzah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah  Persekutuan 1984, pada awal Januari.

Pasangan tersebut yang dikurniakan dua orang anak berumur tujuh dan empat tahun telah berkahwin sejak  9 Mei 2003.