BATU PAHAT - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran bantuan RM500 sekali sahaja kepada 43,000 penoreh dan pekebun kecil getah di seluruh negara yang akan diagihkan Ramadan ini.
  
Beliau berkata bantuan itu, yang merupakan saranan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, akan dapat membantu meringankan beban penoreh yang tidak mempunyai kebun getah sendiri dan pekebun kecil yang terkesan akibat harga getah yang rendah pada masa ini.
  
"Bayaran sekali sahaja sebanyak RM500 akan dibuat pada Ramadan ini melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," kata perdana menteri di majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan di Kampung Parit Haji Ali, Mukim 8 Sri Gading di sini hari ini.
  
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib turut mengumumkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menggantikan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) kepada Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia mulai tahun ini.
  
Katanya anugerah itu akan dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.
  
Menurut beliau, anugerah berkenaan yang menekankan aspek kesejahteraan kampung dan kemantapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan disampaikan pada tahun depan.
  
Najib kemudiannya menyampaikan Anugerah Desa Cemerlang kepada pemenang-pemenang dengan johan menerima RM225,000, naib johan (RM175,000) dan tempat ketiga (RM115,000).  

Johan disandang Kampung Parit Haji Ali (Johor), naib johan Kampung Jelai (Perak) dan tempat ketiga Kampung Kuala Kerik (Kedah).
  
Pemenang kategori lain yang menerima RM60,000 ialah Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Selangor (Kategori Aspek Ekonomi); Kampung (F) Sungai Koyan 2, Pahang (Kategori Aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi); Kampung Tok Dor, Terengganu (Kategori Aspek Kebersihan, Kesihatan dan Keceriaan); Kampung Seri Serbang, Sabah (Kategori Aspek Sambutan Kemerdekaan); Kampung Gadek, Melaka (Kategori Aspek Kepimpinan); Kampung Gong Kulim 1, Kelantan (Kategori Aspek Kerohanian dan Patriotisme); dan Kampung Besar, Pulau Pinang (Kategori Aspek Pendidikan).
  
Kampung Gebok, Negeri Sembilan;  Kampung Padang Besar Selatan, Perlis; Kampung Bukit Kuda, Wilayah Persekutuan Labuan; dan Kampung Pejuang Kelulit, Sarawak turut memenangi RM60,000 bagi kategori Desa Harapan. - Bernama