Sunday, June 22, 2014
Pemilihan dua cabang PKR batal kerana politik wang..
Kontroversi pemilihan PKR Perak bagi tahun 2014 semakin panas apabila parti itu mengesahkan dua lagi cabang parti di Perak dibatalkan keputusan pemilihan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dua minggu lalu.
Pengerusi PKR Negeri Perak, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, dua cabang parti yang disahkan dibatalkan keputusan adalah PKR Cabang Bagan Serai dan Cabang Tambun.
Menurutnya, JPP memutuskan keputusan pemilihan PKR kedua-dua cabang dibatalkan serta-merta setelah mendapati berlakunya salah laku membabitkan politik wang sewaktu pemilihan sedang dijalankan.
“Setakat ini, PKR Perak masih tidak dimaklumkan mengenai keputusan tarikh dan lokasi proses pemilihan semula membabitkan PKR cabang Bagan Serai, manakala proses pemilihan semula PKR Cabang Tambun hari ini (semalam).
“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan pemilihan semula PKR Cabang Bagan Serai akan dilaksanakan selewat-lewatnya sebelum penghujung bulan Jun ini,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Ditanya sama ada lebih banyak pembatalan keputusan cabang PKR di Perak akan berlaku di Perak, Muhammad Nur enggan mengulas lanjut dan menegaskan segala keputusan di tangan JPP.
“Saya enggan ulas lanjut kerana tidak mahu melangkaui JPP. Saya turut minta media tulis yang ini sahaja,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua PKR Cabang Bagan Serai, Md Nasib Rahim ketika dihubungi memaklumkan tidak mengetahui keputusan JPP membatalkan pemilihan PKR cabang Bagan Serai yang diadakan pada 4 Mei lalu.
Menurutnya, sehingga kini, Ketua PKR Cabang Bagan Serai yang baharu, Sharif Sarjono memaklumkan kepadanya masih belum menerima sebarang surat pembatalan keputusan pemilihan daripada JPP.
“PKR Cabang Tambun sememangnya sudah dimaklumkan mengenai proses pemilihan semula cabang itu diadakan hari ini (semalam).
“Namun, PKR Cabang Bagan Serai masih belum menerima sebarang hitam putih mengenai pembatalan keputusan pemilihan cabang ini sebelum ini,” katanya.
Md Nasib turut menggesa JPP bersikap telus dan tidak sekadar membuat keputusan yang dipengaruhi pihak tertentu.
Sinar Harian pada 6 Mei lalu melaporkan kejayaan Ketua PKR Cabang Bagan Serai yang baharu, Sharif Sarjono menewaskan bekas pemangku Ketua PKR cabang itu, Munawir Mahmuddan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang, Azroul Shahrin Amir Hussin dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua PKR cabang itu.
PKR Cabang Bagan Serai sememangnya tidak asing daripada kontroversi apabila hampir 70 peratus ahli PKR cabang itu mengugut memboikot pemilihan dan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR itu sekiranya lokasi pengundian di Hotel Kelisa, Bagan Serai dikekalkan, seminggu sebelum pemilihan berlangsung.
~ Sinar Harian
0 orang berkata:
Post a Comment