Friday, June 27, 2014
Kabinet besar Najib: Apa Kata Penganalisis
Kabinet besar Najib demi kepentingan politik, kata penganalisis
OLEH EILEEN NG
Published: 27 June 2014
Rombakan
Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Rabu
lebih dilihat sebagai habuan politik berbanding keinginan untuk
melakukan transformasi, menurut penganalisis politik yang beranggapan ia
akan terus memacu kepada pengurusan kerajaan yang tidak cekap.
Mereka mendakwa
peluang ini diambil Najib untuk memasukkan pemimpin Cina daripada dua
parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet,
namun tidak menggugurkan atau menukar menteri yang lemah dalam
pentadbiran.
Penganalisis
juga melahirkan kebimbangan dengan pasukan Najib yang terdiri daripada
35 orang yang merupakan pasukan yang lebih besar berbanding zaman
pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terdiri daripada 32 ahli
Kabinet.
“Ini bukan
rombakan tetapi pengembangan yang mengambil kira lebih kepada
kepentingan politik berbanding transformasi. Tiada muka baru,” kata Dr
Oh Ei Sun dari Pusat Kajian Antarabangsa S Rajaratnam dari Singapura.
Najib melantik
Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana
Menteri sebagaimana dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK)
Teluk Intan bulan lalu.
Beliau turut
melantik Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai menteri pengangkutan dan
Datuk Wee Ka Siong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga lagi naib
presiden MCA: Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka
Chew Mei Fun masing-masing dilantik timbalan menteri di Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan serta
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sementara itu,
Ketua Pegawai Operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas)
Tricia Yeoh berkata Kabinet yang lebih besar tidak menarik kerana
dilihat kurang berkesan.
“Perubahan
terkini dalam Kabinet dilihat sebagai cara perdana menteri tunduk kepada
pelbagai permintaan dan kepentingan pihak tertentu dalam komponen BN.”
Katanya, jika Najib ikhlas untuk melakukan pembaharuan, maka barisan Kabinet yang besar bukan menjadi satu keperluan.
“Saya tidak
fikir ia merubah apa-apa atau menaikkan semangat Najib untuk melakukan
transformasi. Jika sebelum ini beliau boleh melakukannya, mengapa perlu
dirombak?” katanya.
Yeoh juga tidak
melihat bahawa mengembalikan pemimpin MCA ke dalam Kabinet mampu
menterjemahkan sokongan padu orang Cina selepas parti itu menunjukkan
prestasi buruk sejak Pilihan Raya Umum 2008.
“Saya
seharusnya menjangkakan kemasukan MCA akan memastikan kaum Cina mendapat
layanan sebaiknya namun ini sememangnya dijanjikan bahawa parti itu
akan kembali ke dalam Kabinet,” katanya yang turut berasa curiga
kemasukan MCA mampu mengembalikan sokongan orang Cina.
Dengan
kemasukan Mah dan Wee, Jabatan Perdana Menteri kini dipenuhi dengan 10
menteri yang mengundang pertanyaan pemerhati mengenai tugas dan
keperluan menteri berkenaan dalam jabatan itu.
“Ini sesuatu
yang gila. Jabatan Perdana Menteri kini mewakili satu pertiga daripada
Kabinet. Ia kelihatan seperti semuanya beroperasi di bawah satu
bumbung,” kata Prof Dr James Chin dari Universiti Monash, Malaysia.
“Malaysia kini sebuah negara yang paling ramai pemimpin kerajaan di Asia Tenggara,” katanya.
Chin berkata
walaupun ramai menjangkakan Najib akan merombak pasukannya dengan
menggugurkan menteri yang berprestasi rendah, namun Najib takut kepada
menteri sedia ada.
“Ia tidak akan
ada pembaharuan. Pembaharuan tidak wujud dengan pengembangan ini. Bagi
meningkatkan kecekapan, Kabinet harus dikecilkan,” katanya yang memberi
penilaian negatif terhadap limpahan pasukan Najib.
Katanya, Najib
terlalu bermurah hati kerana memberi ruang kepada MCA walaupun parti itu
menunjukkan prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu.
MCA memegang
empat jawatan menteri dan tujuh jawatan timbalan menteri sebelum ini,
namun mengambil keputusan tidak menyertai Kabinet selepas pilihan raya
umum lalu kerana parti itu hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32
kerusi DUN pada 2008.
“Dengan keputusan ini, kaum Cina tidak akan kembali kepada BN,” katanya.
Bagaimanapun,
penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak Dr Arnold
Puyok berpendapat Najib tiada pilihan membuat rombakan berkenaan.
“Beliau perlu
memastikan pemimpin parti komponen cukup mewakili Kabinet. Ia akan terus
dilihat sama ada rombakan ini membantu transformasi,” katanya.
Arnold percaya
Najib merancang untuk mengugurkan menterinya yang kurang memberikan
prestasi namun perlu melakukannya dengan berhati-hati bagi mengelak
perpecahan dalam kerajaan.
“Beliau tidak sanggup melihat perpecahan BN pada masa kini,” katanya. – 27 Jun, 2014.
Posted by
mountdweller
0 orang berkata:
Post a Comment