Friday, June 20, 2014
Akibat Tekanan Daripada Rakan-Rakan PR, Khalid Ibrahim Letak Jawatan?
Sikap menteri besar Selangor pada penggal kedua itu yang seringkali
membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) dalam keputusan menyebabkan parti
Islam negeri yang selama ini setia bersamanya, beralih arah, kata
beberapa pemimpin PAS negeri.
"Pada dasarnya, inilah yang disuarakan oleh satu mesyuarat Badan
Perhubungan PAS Selangor sebelum ini, kesemua 22 Yang di-Pertua PAS
kawasan di seluruh Selangor bersetuju agar Khalid ditukar kerana beliau
dianggap membawa masalah," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor
Jaafar Sulaiman kepada The Malaysian Insider.
Menurut Jaafar, pelbagai isu yang berlaku di Selangor kini berpunca
daripada kelemahan pimpinan Khalid yang membelakangkan parti-parti dalam
PR walaupun mereka yang meletakkan beliau di kedudukan itu.
Jaafar turut mendesak PAS Pusat dan PR agar menukar Khalid dengan calon yang lebih layak dan sentiasa bersama gabungan itu.
PKR sebelum ini memulakan Langkah Kajang untuk menggantikan Khalid
dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.
Namun langkah itu terbantut selepas Mahkamah Rayuan menerima rayuan
Putrajaya, dan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful
Bukhari Azlan pada 2008.
Keputusan mahkamah itu menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail terpaksa bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Kajang selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Lee
Chin Cheh meletakkan jawatan.
Bagi Jaafar, kelemahan Khalid semakin ketara dalam menggendalikan
beberapa isu penting, termasuk pengambilalihan syarikat pengurusan air,
rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible
Malaysia (PBM) dan pembinaan Lebuhraya Kidex yang mendapat bantahan
ramai.
Menurut Jaafar, rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada PBM
dan serbuan ke atas majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu, selari
dengan Agenda Rampas Selangor (ARS) yang dibentuk Umno negeri untuk
menjauhkan sokongan bukan Islam daripada PR.
Beliau berkata kuasa berlebihan yang diberikan oleh Khalid kepada
pegawai kerajaan di pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang
membelakangkan ahli-ahli majlis dilantik oleh parti-parti PR, turut
menimbulkan kemarahan.
"Misalnya, pengambilan kuasa pengurusan ke atas pasar-pasar malam
daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang
dikuasai parti Pakatan kepada pegawai di PBT. Apabila kita bertanya
kepada pegawai PBT, mereka katakan ini kehendak menteri besar," katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad turut bersetuju dengan Jaafar.
"Kita sudah membuat keputusan sebelum ini, Khalid perlu ditukar dengan
pemimpin lain yang bagi saya perlu diterima oleh semua parti dalam
Pakatan Rakyat.
"Saya tidak nampak bagaimana seorang menteri besar boleh kekal jika
partinya sendiri menolak beliau," kata Khalid ketika kepada The
Malaysian Insider.
Ketika ditanya mengapa isu ini bergema kembali, Khalid berkata, ia
senyap seketika kerana pemilihan PKR sedang berjalan dan bukan kerana
sudah selesai.
"Ramai senyap kerana bimbang jika serangan ke atas Khalid diteruskan, ia
ditafsirkan sebagai kempen negatif ke atas beliau yang bertanding
timbalan presiden PKR," katanya yang sebelum ini adalah penyokong utama
Khalid Ibrahim di Selangor.
Sementara itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman berkata,
masalah besar Khalid adalah beliau tidak mendengar dan mendapatkan
nasihat daripada rakan-rakannya dalam PR.
"Ketika hangat isu ini dibincangkan sebelum ini, saya pernah menyebut
kepada beliau bahawa kita tidak bercadang untuk menukar beliau, tetapi
kita mahu beliau berubah," kata Dr Rani yang juga merupakan Adun Meru.
Menurut Dr Rani, beliau pernah membisikkan kepada Khalid dan meminta
beliau agar mendekati dan mengambil pandangan sahabat-sahabat dalam PR.
"Isu yang saya sebut kepada beliau, antaranya adalah PBT. Nampaknya isu ini boleh menjatuhkan Pakatan selepas ini," katanya.
Sementara Adun Hulu Klang dari PAS, Shaari Sungib mengatakan DAP pernah
menimbulkan agar Khalid digantikan, tetapi perbincangan masih belum
dilakukan di peringkat PR.
"Tetapi jika dikekalkan keadaan dasar yang ada, ini akan menyebabkan
kekalahan PR dalam PRU14, kita kena bersemukalah, 'put our facts
together'," katanya.
PKR Selangor pimpinan Mohamed Azmin Ali sememangnya tidak sebulu dengan
pentadbiran Khalid. DAP pula secara terbuka menyerangnya melalui
pemimpin seperti Gobind Singh Deo.
Ahli Parlimen Raub dari DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz baru-baru
ini menulis di blognya Sakmongkol AK47, mengatakan jika Khalid tidak
digantikan, BN akan berjaya merampas Selangor dalam PRU14.
Bagaimanapun, apabila diminta mengulas kenyataan ahli Parlimen DAP itu,
Khalid berkata: "Tidak, itu perlu bertanya pada Raub. Dia bukan wakil
daripada negeri Selangor." ~tmi
0 orang berkata:
Post a Comment