• PDRM
1 / 1
SHAH ALAM – Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dalam menyiarkan atau memuat naik sebarang komen yang berkaitan dengan kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah.
 
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihaknya telah menerima beberapa laporan polis berkaitan individu atau pihak yang sengaja menghina institusi beraja di dalam media sosial.
 
“Pihak kami sudah pun menerima laporan yang berkaitan dan perkara ini sedang dalam proses siasatan.”
 
“Sebarang maklumat atau petunjuk yang diperoleh daripada hasil siasatan akan dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan susulan,” katanya melalui sebuah kenyataan hari ini.
 
Mengulas lanjut, pihak PDRM sentiasa memandang serius tentang isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman seperti ini.
 
“Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 terhadap mereka yang terbabit.
 
“Pihak kami ingin menyarankan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang 'post' bagi mengelakkan perpecahan perpaduan masyarakat,” katanya lagi.