• Hadi Awang Hadi Awang
1 / 1
IPOH -  Pemimpin dan ahli Pas diingatkan supaya meneruskan perjuangan secara berterusan atau istiqamah bagi membina kekuatan dalam parti yang berusia 63 tahun itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penubuhan Pas pada dasarnya merupakan rantaian atau kesinambungan daripada kumpulan parti-parti Islam terdahulu.

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa, gerakan politik Islam mampu untuk menang sekiranya demokrasi diamalkan sesebuah negara itu benar-benar tulen.

“Gerakan politik melalui pilihan raya mampu menjana kemenangan sekiranya demokrasi diadakan secara tulen bukan demokrasi tipu.

“Kumpulan Islam boleh menang di Syria, menang di Tunisia, menang di Mesir tetapi kemenangannya dinafikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Pas kali ke-63 di Kompleks Pas Kuala Kangsar, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan kad keahlian Pas berwajah baharu yang dilengkapi gambar ahli.

Abdul Hadi berkata, Pas memilih jalan damai untuk perjuangan dengan memilih demokrasi sebagai keutamaan biarpun terdapat kumpulan yang rakus menentang Islam.

“Dalam masa kita menebarkan perjuangan yang betul, muncul kumpulan yang rakus menentang Islam. Jadi untuk mendirikan negara Islam dan menentang kerakusan tersebut kita perlu mempunyai asas teguh dan kuat, " katanya.