Jumpa Dr M: ‘Saya tidak wakili Pas’
PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar menafikan kehadirannya
pada pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di
Yayasan Kepimpinan Perdana semalam mewakili partinya.
Tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kehadirannya ke pertemuan itu hanya membawa status sebagai rakyat negara ini.
“Kena jelas di sini, saya tidak mewakili Pas. Saya berdiri atas nama
warganegara Malaysia yang diizinkan oleh Perlembagaan untuk saya
mendukung satu perjuangan yang berkepentingan kepada negara dan rakyat.
“(Datuk Seri) Najib Razak harus segera berundur daripada kedudukannya
sebagai Perdana Menteri demi meletakkan kembali Malaysia ini pada
landasan yang betul termasuk ekonomi, demokrasi,” katanya kepada Sinar
Online ketika ditemui selepas pertemuan ahli-ahli Parlimen pembangkang
dengan Mahathir.
Beberapa ahli Parlimen pembangkang DAP dan seorang dari Pas, Amanah dan
PKR hadir di pejabat Mahathir lewat petang semalam bagi membincangkan
isu-isu politik semasa serta perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK)
di Sungai Besar juga Kuala Kangsar.
Mahfuz juga memberitahu perjuangan yang disertainya dalam Deklarasi
Rakyat itu bukan bersama Mahathir sebaliknya bersama rakyat.
“Tun Mahathir menyertai, saya pun sertai, semua menyertainya. Saya kira ini suatu yang sangat berharga untuk negara dan rakyat.
“Bagaimana individu yang berbeza dan pernah berseteru...saya sendiri
pernah berseteru dengan Tun Mahathir, beliau pernah menangkap saya dan
sebagainya tetapi akhirnya kita boleh bersatu demi negara dan rakyat,”
katanya.
1 orang berkata:
Datuk Seri) Najib Razak harus segera berundur daripada kedudukannya sebagai Perdana Menteri demi meletakkan kembali Malaysia ini pada landasan yang betul termasuk ekonomi, demokrasi,” katanya
Nak tanya Mahfuz.. siapa plk nk meletakkan kembali Malaysia bla bla bla jika najib turun sekarang?
Post a Comment