Ahli Pas jangan terheret spekulasi di Selangor
SHAH ALAM – Semua ahli dan pendukung Pas diminta fokus pada kedua-dua
Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang
bakal ditandingi parti Islam itu bulan depan.
Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Mustafa Ali sempat mengingatkan agar
ahli dan pendukung parti tidak terheret sama dengan spekulasi berkaitan
kedudukan Pas di negeri ini.
“Ahli dan pendukung harus fokus kepada PRK Parlimen Sungai Besar dan
Kuala Kangsar. Jangan terseret dengan berita dan sebarang spekulasi
tentang kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor.
“Soal kerajaan akan ditangani secara tertib dan bijaksana. Tidak
berbangkit soal Exco Pas meletakkan jawatan atau dipecat daripada
jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sedia sebarang kemungkinan selepas PRK]
Beliau turut mengajak agar semua ahli dan pendukung Pas terus memantapkan jentera PRK di kedua-dua Parlimen di semua peringkat.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mendakwa Menteri Besar Selangor,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan Exco Pas meletakkan jawatan
jika parti itu masih meneruskan hasrat untuk bertanding dalam PRK Sungai
Besar.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, didakwa telah
menyampaikan arahan itu kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar
Abdul Samad dan Exco Pas lain, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul
Talib selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu lalu.
Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan fokusnya
adalah mengadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang berhubung
perebutan kerusi itu.
Sementara Pas Pusat memberitahu dakwaan itu tidak dapat dipastikan
kesahihannya pada masa sama pihaknya tidak menerima sebarang surat
daripada Mohamed Azmin.
0 orang berkata:
Post a Comment