SHAH ALAM - Penganalisis politik menyifatkan PKR sepatutnya menyokong keputusan Pas untuk bertanding di kedua-dua kerusi tradisinya, Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar bukan sebaliknya.

Penganalisis politik, Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis berkata, sekiranya pertembungan antara PKR dan Pas berlaku di dua PRK itu, ia akan memberi kesan panjang selain penyokong pembangkang juga akan keliru dengan situasi itu.

“(PKR sepatutnya sokong calon Pas?) Memang itulah sepatutnya. PKR ini tali yang mengikat DAP dan Pas, menjadi orang tengah dan kurang patutlah jika PKR meletakkan calon. Sebab PKR sudah tahu rakanya nak letak calon dan dia pun nak letak calon juga.

“Cuma jika benar-benar berlaku pertembungan antara Pas dan PKR dalam PRK di Sungai Besar misalnya, memang peliklah sebab mereka bersama-sama membentuk kerajaan di Selangor.

“Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat jika benar-benar mahukan kemenangan, mereka memang perlu mendapatkan kata putus isu pencalonan ini segera. Selepas itu barulah perancangan strategi kempen itu boleh bermula,” katanya kepada Sinar Online.

Mengulas soal keyakinan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di PRK tersebut, beliau menyarankan agar parti baharu itu melupakan hasrat tersebut.

“Saya rasa Amanah jangan bertandinglah. Amanah baru lagi. Jika kita mahu melihat satu pertandingan yang cantik antara BN lawan dengan salah satu parti, pada saya, Pas lah. Amanah ini, saya kurang yakin dengan kekuatan akar umbinya untuk mendapatkan sokongan sebab pengundi-pengundi Melayu khususnya ada kesetiaan.

“Seperti penyokong Umno. Kadang-kadang jadi macam mana sekalipun, mereka tetap sokong Umno. Macam Pas juga. Walaupun kata Pas ada pelbagai isu, tapi mereka tetap sokong Pas,” katanya.

Melihat peluang Pakatan Rakyat Selangor untuk memenangi kerusi di Parlimen Sungai Besar penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata mungkin jika Pas mahu berkompromi, parti Islam itu boleh menyerahkan kerusi di Parlimen tersebut.

“Bolehlah (kompromi) jika itu yang dirasakan terbaik. Berkompromilah. Jika Pas rasa pendiriannya itu (tanding dua-dua PRK) yang betul, teruskanlah tapi akan ada akibatnya. Maksudnya, mungkin ada perpecahan hubungannya dengan PKR. Selepas itu, Pas mungkin akan memikirkan blok ketiga ataupun bersama dengan BN.

“Saya nampak Kerajaan Negeri Selangor boleh beri tumpuan kepada Sungai Besar kerana kemenangan (BN) pada PRU13 pun majoritinya kecil. Jadi, mungkin boleh mereka (Pakatan) bergabung untuk kalahkan BN di situ. Kalau di Kuala Kangsar agak sukar kerana di situ kubu kuat Umno sejak dulu,” katanya.

Mengimbau PRK Pengkalan Kubor di Kelantan pada 2014, Dr Azizuddin berkata PKR sanggup melepaskan kerusi itu untuk Pas dan kali ini tiba giliran Pas namun parti Islam itu tidak berbuat sama untuk PKR.

“Memang tempat itu kerusi tradisi Pas sebelum ini tetapi dalam PRK di Pengkalan Kubor, PKR beri kerusinya kepada Pas untuk bertanding. Jadi, mungkin kali ini PKR minta supaya PKR atau Amanah dapat bertanding, sekurang-kurangnya satu kerusi tapi tidak ada kompromi dengan Pas kali ini.

“Saya rasa ada juga kesalahan di pihak Pas kerana terlampau memikirkan perkara itu sangat. Tapi apabila orang lain beralah, tak apa pula. Dia (Pas) tak boleh beralah pula. Ada juga sikap tidak elok daripada Pas dalam konteks ini.

“Jadi, kalau nak kerjasama itu, buat kerja secara kompromilah. Tidak boleh bertegang dengan tuntutan dan kehendaknya. Saya lihat masing-masing ada salah. Jadi, kalau mereka berpecah, saya tidak hairanlah kerana mereka tidak harmoni di dalam pakatan,” katanya.

Menyentuh soal spekulasi penyingkiran Exco Pas Selangor, beliau berkata perkara itu tidak akan merobohkan Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya rasa tidak ada masalah bagi DAP dan PKR (Selangor) kerana mereka boleh sisihkan Exco-exco Pas dan Kerajaan masih wujud dengan majoriti mudah bukan dua pertiga seperti sekarang. Sebab sekarang ini nak buat pilihan raya kecil pun sudah tidak boleh kerana sudah tamat tempoh penggal.

“Kalau sebelum ini, mungkin mereka takut sekiranya singkirkan Pas, perlu buat pilihan raya kecil...susahlah. tapi sekarang sudah tidak perlu. Jadi, sekiranya benar Exco Pas disingkirkan, ia tidak akan menjatuhkan kerajaan tetapi ia akan melemahkan kerajaan Selangor kerana hanya majoriti mudah. Perlu tunggu pilihan raya umum akan datanglah,” katanya.