Pas nafi lakukan 'pembersihan' besar-besaran
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz
menafikan 'pembersihan' besar-besaran melanda parti itu sepanjang krisis
dalaman yang menyebabkan tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah),
baru-baru ini.
Menurutnya, 'pembersihan' yang berlaku itu hanya biasa-biasa sahaja
meskipun ekoran daripada itu beberapa pimpinan utama parti itu
meninggalkan Pas dan membentuk parti lain.
"Sebab itu tak boleh kata pembersihan besar-besaran. Pembersihan biasa.
Saya sendiri dan pemimpin lain daripada awal menyebut, yang tak puas
hati dengan Pas, kita selesaikan dengan cara yang baik.
"Yang sudah tak selesa dengan Pas, dia boleh keluar, tak perlu kita
pecat dan boleh masuk parti-parti lain, nak aktif (berpolitik) ataupun
tidak, itu terpulang. Yang keras kepala kena pecatlah," katanya pada
sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Wilayah Persekutuan
ke-31, di sini, hari ini.
Tahun lalu, sebahagian pemimpin dan ahli Pas meninggalkan parti dan
menyertai Amanah termasuk bekas Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu.
Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, harus diakui ada ahli Pas yang meninggalkan parti dan ada juga yang memilih untuk kekal.
"Sehari demi sehari, yang nak keluar, dia keluar. Beritahu, tak nak beritahu, itu pilihan. Yang rasa nak kekal, mereka kekal.
"Ramai yang pening tapi akhir sekali dah tak pening sebab nampak.
Semakin hari semakin ramai yang istiqamah. Pada awal memang kocakannya
besar, nak buat keputusan susah tapi oleh kerana dia sabar melihat,
akhir sekali dia melihat Pas ini lebih baik," katanya.
Menyentuh soal suasana Muktamar Tahunan Pas akan datang, Nik Abduh
menjangkakan suasana akan lebih tertib susulan apa yang melanda parti.
"Tapi memang yang di atas pentas akan kena hentam. Termasuk saya tapi tiada sekatan. Mereka bebas bersuara," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment