Denda khalwat rendah, 'keep the change!'
KOTA BHARU - Pas menegaskan hukuman jenayah syariah yang ditetapkan
sekarang tidak mengikut al-Quran dan terlalu rendah hingga menjadi bahan
gurauan sahaja.
Malah Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,
Mahkamah Syariah kita tidak menjalankan hukum syarak yang sebenar.
"Denda khalwat RM250 orang siap bagi RM300. 'Keep the change!'.
Mahkamah kita jadi bahan gurauan," katanya pada sidang media selepas
merasmikan Muktamar Pemuda Pas ke-57 di sini, hari ini.
Beliau juga mendakwa pihak berkuasa telah menipu rakyat selama lebih 40
tahun gara-gara penghakiman dibuat tanpa mengikut syariat sebenar.
"Contohnya bagi orang Islam minum arak. Hukumannya bukan enam sebatan.
Kalau ikut al-Quran atau Hadis Nabi, minima 40 hingga 80 sebatan.
"Jadi, kita berbohong dengan rakyat hampir 40 tahun. Kita nak perbetulkan semula sahaja," katanya.
Tegasnya, pindaan yang dicadangkan pihaknya itu tidak melibatkan sebarang kesalahan baharu.
"Ini hanya melibatkan kesalahan sedia ada dalam perundangan cuma
hukuman itu perlu naik supaya hukuman itu setimpal dengan kehendak
syarak bagi orang Islam. "Ia (pindaan) juga mencerminkan wibawa mahkamah," katanya.
Mengulas mengenai orang Islam sendiri yang menentang pindaan Rang
Undang-undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa
jenayah) pindaan 2016, Tuan Ibrahim menyifatkan golongan ini tidak
memahami isu itu.
"Kita perlu beri kefahaman. Mereka menentang kerana tidak tahu. Jadi,
kalau kita menentang perkara yang kita tak tahu, ini antara perkara yang
tidak sepatutnya berlakulah.
"Saya baca komentar daripada Muslim dan bukan Muslim, saya penuh yakin mereka tak faham sebenarnya apa yang dibawa," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment