Syed Rosli sahkan tanding PRK sebagai calon bebas
SHAH ALAM - Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman
Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail mengesahkan bahawa
beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar
sebagai calon bebas.
Menurut Syed Rosli, kedua-dua calon daripada BN dan Pas bukan merupakan
anak tempatan dan keadaan itu akan menyebabkan pihak berkenaan gagal
untuk memahami kehendak serta keperluan rakyat di Kuala Kangsar.
“Di sini saya ingin umumkan secara rasminya yang saya akan bertanding pada PRK Kuala Kangsar sebagai calon bebas.
“Saya selaku anak jati Kuala Kangsar merasakan kedua-dua calon dari Pas
dan BN yang bukan anak tempatan ini sudah semestinya gagal memahami apa
kehendak dan keperluan rakyat Kuala Kangsar,”tulisnya di laman sosial
Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Syed Rosli turut memaklumkan bahawa beliau sebagai ahli
Umno turut merasa amat kecewa dengan kepimpinan parti kerana gagal
meletakkan calon anak tempatan yang jauh lebih layak berbanding balu
Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Mohd Yazid.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
mengumumkan Datin Mastura sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kuala
Kangsar yang akan berlangsung pada 18 Jun ini.
Pengumuman berkenaan telah mengejutkan banyak pihak memandangkan Datin
Mastura masih berada dalam tempoh edah selama 4 bulan 10 hari.
Selain daripada itu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Datuk Ibrahim Tuan Man
turut mengumumkan Ketua Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad
sebagai calon Pas bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar.
0 orang berkata:
Post a Comment