Calon BN penuhi lima elemen ditetapkan parti
KUALA KANGSAR - Calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar
bulan depan, Datin Mastura Mohd Yazid menepati semua lima elemen yang
ditetapkan oleh parti termasuk seorang yang profesional.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,
selain itu pemilihan Mastura juga dibuat kerana beliau sangat memahami
faktor muka bumi Kuala Kangsar di samping mesra dengan masyarakat.
"Calon juga faham mengenai parti (Umno dan BN) dan tidak akan
menyanggah kepimpinan bahagian. Kita juga mahu memberi keutamaan kepada
tulang belakang kita (Wanita Umno)," katanya pada majlis pengumuman
calon BN dan pelancaran jentera BN bagi PRK Kuala Kangsar di sini, hari
ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Balu Wan Mohammad Khair-il calon BN di Kuala Kangsar]
Mastura, 55, merupakan balu kepada Ahli Parlimen sebelum ini Datuk Wan
Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas
helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ibu kepada empat anak itu merupakan seorang graduan undang-undang
universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln's Inn di United Kingdom
dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.
Selain itu, beliau juga bergiat cergas dalam dunia politik dan menjadi
Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum
mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarga serta
arwah suaminya.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno meminta semua pihak dalam
parti supaya memberi sokongan padu kepada Mastura untuk memastikan BN
dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
"Lawan kita (Pas) letak seorang profesional juga seorang wanita, maka kita juga harus cari seorang profesional.
"Kita bukan maksum, tentunya ada kelemahan. Maka calon yang dipilih itu
adalah calon BN, tiada dakwa dakwi (pelbagai aduan dan tuduhan) dalam
kalangan kita.
"Kalau ada yang kecil hati sama ada kepimpinan sedia ada atau mantan
kepimpinan sebelum ini..lupakan.. dan kita berdiri sama-sama menyokong
calon," katanya.
Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata pemilihan calon juga dibuat bagi
memastikan kesinambungan pembangunan yang pernah dirancang dan
dilaksanakan oleh Wan Mohammad Khair-il sebelum ini dapat diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata kesinambungan kemajuan di Kuala Kangsar
perlu diteruskan dengan berteraskan politik pembangunan dan bukannya
pembangunan moden semata-mata selari dengan gelarannya sebagai Bandar
Diraja.
"Kita harus bangunkan Bandar Diraja ini. Tentunya bila kita mahu
melihat sesuatu yang ada kesinambungan, maka perlu ada tua, muda, wanita
dan lelaki.
"Kita tahu orang muda di Kuala Kangsar ini ada 36 peratus (daripada
32,949 pemilih berdaftar), maka citarasa mereka perlu diterjemahkan
dalam bentuk aktiviti projek pembangunan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.
PRK Kuala Kangsar mungkin menyaksikan pertandingan lebih daripada satu
lawan satu apabila Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengumumkan
calonnya pada 1 Jun.
Semalam, Pas mengumumkan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak Dr
Najihatussalehah Ahmad sebagai calon parti itu dalam PRK Kuala Kangsar. -
Bernama
6 orang berkata:
Sygnya calon bn di k.kangsar masih dlm edah kematian.
Pakkaramu.....dah lama dah takde iklan no.TOGEL.
Heh heh...telahan ku menjadi nyata...habih la pembsngkang.... biarpun.aku penyokongmu...namun.kali ini...ku pangkah BN... bagi mengenangkan kebaikan arwah dato khairil.
Pangkah BN aku tak kesah.. cuma nasihat aku kau suruh calon pilihan kau tu check balik waktu edah dia habis bila..
Ya Allah, tewaskanlah semua calon Pas yg sombong, angkuh dan kaki fitnah. Amin
Pilih ketua lelaki la.
Post a Comment